Inspektor polis tidak mengaku terima rasuah RM12,000

Inspektor polis tidak mengaku terima rasuah RM12,000

TERTUDUH (kiri) dibebaskan selepas membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12,000 sebagai dorongan untuk tidak menuduh dua suspek yang didakwa gagal memberikan maklumat berkaitan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, tahun lalu.

Abdul Rahman Khairuddin, 31, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Abdul Rahman didakwa meminta wang tunai RM10,000 daripada seorang wanita berusia 34 tahun sebagai dorongan supaya tidak menuduh wanita itu dan seorang lagi suspek atas kesalahan mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, kira-kira pukul 10.30 pagi pada 2 April 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, pegawai yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jeli itu didakwa memperoleh suapan wang tunai RM2,000 daripada wanita sama melalui seorang lagi wanita berusia 45 tahun sebagai dorongan untuk tidak menuduh dua suspek terbabit atas kesalahan sama. Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama kira-kira pukul 2.30 petang pada 2 April 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang turut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar, bersama pegawai pendakwa, Rosmanazihah Othman, manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Khir Khairuddin.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 serta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mendekati saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam bela memohon jaminan minimum dengan alasan tertuduh merupakan penjawat awam, mempunyai dua anak yang masih kecil serta berpendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, selain mengenakan syarat tambahan supaya melapor diri di pejabat SPRM Kota Bharu setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan. Mahkamah menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN