MELAKA: “Baru saya keluarkan barang dari laci untuk letakkan atas katil, tiba-tiba air sudah masuk ke dalam bilik.”
Demikian detik cemas dikongsi Mahaya Suratman, 70, apabila rumahnya di Rambai Jaya di sini dinaiki air banjir kilat yang disifatkannya paling buruk pernah dialami kelmarin.
Mahaya berkata, ketika kejadian dia berada di rumah bersama suami yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
“Hujan tidaklah terlalu lebat, sekejap berhenti, sekejap lebat. Tiba-tiba longkang penuh dan air naik dengan sangat cepat.
“Saya sempat angkat sedikit barang tetapi air terus masuk ke dalam rumah sehingga ke bilik. Memang tak sangka air naik secepat itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Minyak 2, semalam.
Katanya, paras air di luar rumah mencecah lutut manakala dalam rumah sekitar betis dan bah kali ini jauh lebih buruk berbanding kejadian sebelumnya.
Mahaya berkata, anaknya yang tinggal di Merlimau bergegas pulang membantu menyelamatkan barangan elektrik termasuk peti sejuk dan mesin basuh dengan meletakkannya di tempat lebih tinggi.
“Saya sendiri tak larat buat apa-apa. Cucu-cucu yang tolong angkat barang. Kucing pun saya selamatkan dulu dan letakkan di atas peti sejuk,” katanya.
Katanya, keluarganya berpindah ke PPS pada sebelah petang dan setakat ini belum dapat pulang ke rumah kerana keadaan belum mengizinkan.
Seorang lagi mangsa, Abdul Wahab Osman, 80, dari Tanjung Minyak berkata, banjir kali ini merupakan yang paling buruk pernah dialaminya.
“Saya sedang berbual di rumah apabila nampak air datang. Dalam tempoh kira-kira setengah jam sahaja, air sudah masuk ke dalam rumah.
“Saya terus keluar meninggalkan rumah. Nasib baik sempat selamatkan sedikit barang,” katanya.
Bapa kepada sembilan anak itu berharap kerajaan dapat membantu semua mangsa banjir tanpa mengira kawasan dan paling penting memastikan rumah kediaman serta penduduk tidak lagi dilanda musibah itu.
“Saya harap kerajaan bantu semua yang terjejas, bukan saya seorang sahaja. Sama ada di Bukit Rambai, Tanjung Minyak atau mana-mana, kami semua perlukan bantuan,” katanya. – UTUSAN










