PUTRAJAYA: Pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) mulai 1 Ogos ini, sebahagian agenda reformasi berterusan kerajaan dalam memodenkan perkhidmatan awam melalui amalan kerja yang berorientasikan hasil.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ini termasuk memanfaatkan teknologi digital dengan sistem pemantauan yang akan memastikan integriti, prestasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berada pada tahap terbaik.
Dasar itu melibatkan pegawai awam yang mana kehadiran bekerja lima hari seminggu di pejabat diubah kepada gabungan kehadiran bertugas secara fizikal di pejabat tiga hari dan bekerja di rumah atau lokasi lain sebanyak dua hari.
“Pelaksanaan HBH hendaklah dipastikan tidak akan menjejas atau menyebabkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan prestasi kerja pegawai. Ketua jabatan hendaklah menetapkan dan memantau pencapaian tugasan pegawai HBH yang terlibat.
“Ini salah satu inisiatif kalis masa hadapan dengan ketersediaan pegawai awam untuk menyampaikan perkhidmatan dalam apa juga perubahan global dan cara kerja akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sejurus pelaksanaan HBH, syarat terdahulu bekerja dari rumah (BDR) iaitu jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi 8 kilometer (km) tidak lagi terpakai dan penjawat awam wajib memasuki pejabat pada Isnin dan Jumaat.
Dasar itu juga dilaksanakan untuk semua perkhidmatan awam di peringkat Persekutuan dan negeri. Namun, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing masing, semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
Menurut Wan Ahmad Dahlan, pelaksanaan HBH hendaklah memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan berjalan seperti biasa dan tidak menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Katanya, pegawai yang dikecualikan HBH adalah mereka yang bertugas dalam sektor keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan yang bertugas di lapangan, kawalan sempadan, risikan dan perlu bersiap siaga.
Pengecualian turut melibatkan pegawai yang bertugas dalam sektor pendidikan yang terlibat dengan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah, sektor kesihatan di hospital dan fasiliti kesihatan lain, pegawai bertugas di mahkamah yang memerlukan kehadiran fizikal serta perkhidmatan bersemuka dengan pelanggan.
Katanya, ketua jabatan perlu mengenal pasti pegawai yang layak mengikut peraturan ditetapkan dan tidak memerlukan arahan atau permohonan khusus.
“Pegawai yang tidak dapat mencapai output ditetapkan, mempunyai masalah kehadiran atau mempunyai masalah untuk dihubungi dalam hari dan tempoh waktu bekerja tanpa sebarang alasan yang munasabah, kelayakan HBH boleh ditarik balik oleh ketua jabatan sehingga prestasi dan kehadiran pegawai adalah baik,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakob berkata, HBH berpotensi meningkatkan produktiviti penjawat awam terutama bagi tugas yang tidak memerlukan kehadiran fizikal sepenuhnya.
Katanya, ia menunjukkan usaha kerajaan memodenkan budaya kerja perkhidmatan awam melalui penggunaan teknologi dan penilaian berasaskan hasil. – UTUSAN










