PUTRAJAYA: Kerajaan diminta mengkaji mekanisme yang membolehkan penggunaan kaedah di bawah undang-undang jenayah siber seperti pengesanan akaun, forensik digital dan kerjasama rentas sempadan bagi membantu siasatan kesalahan syariah di Wilayah Persekutuan.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu penting berikutan penyalahgunaan platform digital untuk menyebarkan ajaran sesat, doktrin palsu serta fahaman yang menyasarkan umat Islam kini semakin mencabar apabila dilakukan menerusi media sosial, akaun palsu dan pelayan yang beroperasi di luar negara.
Menurut beliau, mekanisme berkenaan dapat memperkukuh penguatkuasaan selain memastikan bukti digital yang diperoleh melalui siasatan siber boleh diterima dan digunakan secara sah dalam prosiding Mahkamah Syariah.
“Jangan sampai undang-undang hanya mampu bertindak terhadap penyebaran ajaran menyeleweng secara fizikal, tetapi tidak berkesan apabila kandungan yang sama disebarkan dari luar negara kepada ribuan umat Islam di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, di Wilayah Persekutuan, Seksyen 4 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan berkaitan doktrin palsu, manakala Seksyen 5 memperuntukkan kesalahan mengembangkan doktrin atau kepercayaan agama selain Islam dalam kalangan orang Islam.
Selain itu, katanya, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan membenarkan undang-undang Persekutuan bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang Islam.
Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan penyelarasan lebih kukuh antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pendakwa syarie supaya bukti yang diperoleh melalui siasatan siber boleh digunakan secara sah dalam prosiding Mahkamah Syariah.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan cadangan itu tidak bermaksud mahkamah syariah mengambil alih bidang kuasa jenayah siber kerana bidang kuasanya kekal terhad kepada orang Islam dan perkara yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
“Jangan sampai undang-undang hanya mampu bertindak terhadap penyebaran ajaran menyeleweng secara fizikal, tetapi tidak berkesan apabila kandungan yang sama disebarkan dari luar negara kepada ribuan umat Islam di Malaysia.
“Ruang siber bukan ruang tanpa undang-undang, tanpa moral dan tanpa pertanggungjawaban. Apa yang haram dan salah di dunia nyata tidak menjadi halal atau benar hanya kerana ia dilakukan di sebalik skrin.
“Mencuri tetap mencuri. Menipu tetap menipu. Mengugut tetap mengugut. Membuka aib tetap suatu kezaliman. Dan dalam usaha kita mengejar penjenayah, janganlah kita mengorbankan hak orang yang tidak bersalah,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im mengingatkan, dalam usaha mengumpulkan bukti, janganlah mengumpulkan data tanpa batas.
Katanya, garis panduan yang akan diguna pakai bagi memastikan akses kepada data oleh pihak berkuasa hanya terhad kepada maklumat yang benar-benar berkaitan dengan sesuatu siasatan dan tidak melangkaui skop yang diperlukan.
“Setiap proses capaian, penyalinan atau pemindahan data daripada sesuatu peranti akan direkodkan secara rasmi bagi memastikan wujudnya rantaian jagaan (chain of custody) yang jelas serta boleh diaudit.
“Kerajaan perlu memastikan data yang tidak berkaitan dengan sesuatu siasatan, termasuk maklumat peribadi, komunikasi keluarga, urusan kewangan dan dokumen pekerjaan dilindungi daripada akses atau penggunaan bagi tujuan lain,” katanya. – UTUSAN










