Golongan nelayan DUN Linggi jadi keutamaan Mohd. Faizal

Kebajikan golongan nelayan DUN Linggi jadi keutamaan Mohd. Faizal

MOHD. Faizal Ramli menyantuni salah seorang nelayan di jeti nelayan Kampung Sungai Sekawang, Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Nasib dan kebajikan golongan nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi sentiasa menjadi keutamaan Ke­tua UMNO Bahagian Port Dickson, Datuk Mohd. Faizal Ramli, khususnya sepanjang beliau berkhid­mat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Bekas Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang, Md. Isa Johar, 67, berkata, komitmen Mohd. Faizal dalam membantu komuniti nelayan telah bermula sejak sebelum beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi.

Katanya, pelbagai bentuk bantuan termasuk jaring, bot dan enjin sentiasa diusahakan Mohd. Faizal bagi memastikan nelayan dapat terus turun ke laut mencari rezeki tanpa berdepan kekangan.

“Beliau sentiasa berusaha mendapatkan bantuan seperti jaring, bot dan enjin supaya kami dapat keluar mencari rezeki tanpa sebarang masalah. Semua itu te­lah beliau lakukan sejak sebelum menjadi wakil rakyat lagi.

“Apabila dipilih sebagai ADUN Linggi, sudah tentu lebih banyak bantuan dapat disalurkan. Malah setiap permasalahan yang dihadapi nelayan, termasuk di kawasan Tanjung Agas, akan dibawa beliau kepada perhatian kerajaan negeri.

“Sebab itu kami menghormati dan selesa berurusan dengan beliau. Setiap kali timbul isu melibatkan nelayan, beliaulah antara individu pertama yang kami hubungi. Malah beliau juga antara yang paling awal turun padang untuk mendengar sendiri rintihan nelayan malah berusaha untuk menyelesaikannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Perkara sama juga dinyatakan nelayan di Kampung Balak, Pasir Panjang di sini, Dewana Haris, 41, yang berkata, Mohd. Faizal turut membantu ketika kawasan itu dilanda ribut tropika Senyar tahun lalu menyebabkan banyak perahu nelayan rosak dan tenggelam.

“Beliau menjadi orang terawal datang dan hulurkan bantuan kepada nelayan yang terjejas dengan ribut Senyar. Ketika itu banyak peralatan nelayan rosak, perahu dan enjin tenggelam malah jaring juga hanyut,” katanya.

Dewana berkata, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini, dia berharap kemudahan buat nelayan-nelayan akan terus dipertingkatkan termasuk pangkalan nelayan di Kampung Balak.

Sementara itu, Mohd. Faizal berkata, sepanjang tempoh per­khid­matannya sebagai wakil rak­yat sebelum ini, kebajikan semua nelayan dan semua jeti yang ada sentiasa menjadi keutamaannya.

“Saya faham penat jerih bekerja sebagai nelayan dan saya tahu betapa susahnya pekerjaan ini disebabkan itulah saya sentiasa membantu untuk menaik taraf segala kemudahan mereka.

“Jika terus diberikan mandat, saya tidak akan sesekali meninggalkan mereka. Susah dan senang kita sentiasa bersama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu meningkatkan sektor pelanco­ngan di Linggi sekali gus menjadi pemangkin utama menjana ekonomi rakyat termasuk menerusi membuka peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN