Gangguan ruang udara Asia Barat: Semak status penerbangan - CAAM

Gangguan ruang udara Asia Barat: Semak status penerbangan – CAAM

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menasihatkan semua penumpang yang melakukan perjalanan ke, dari atau transit melalui Asia Barat supaya menyemak status penerbangan masing-masing dengan syarikat penerbangan sebelum berlepas ke lapangan terbang berikutan gangguan berterusan ruang udara di rantau berkenaan.

CAAM dalam kenyataan memaklumkan, situasi keselamatan yang masih tidak menentu di rantau itu terus memberi kesan kepada operasi penerbangan antarabangsa apabila beberapa syarikat penerbangan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengubah laluan, menyusun semula jadual serta membatalkan perkhidmatan tertentu.

Menurutnya, pelarasan operasi itu berkemungkinan menyebabkan tempoh penerbangan menjadi lebih panjang selain berlaku kelewatan dan gangguan terhadap penerbangan sambungan.

“Beberapa syarikat penerbangan telah mengumumkan penggantungan sementara, pembatalan atau pelarasan perkhidmatan melibatkan destinasi di Asia Barat.

“Memandangkan pengaturan operasi boleh berubah pada bila-bila masa, penumpang disaran mendapatkan maklumat terkini secara terus daripada syarikat penerbangan masing-masing berhubung jadual penerbangan, penerbangan sambungan serta pilihan perjalanan yang tersedia,” katanya hari ini.

CAAM berkata, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan semasa selain terus berhubung dengan syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan industri penerbangan bagi memastikan keselamatan operasi sentiasa terpelihara.

Katanya, semua syarikat penerbangan dijangka terus menilai risiko operasi dan mengambil langkah berjaga-jaga mengikut keperluan keselamatan penerbangan serta peraturan yang berkuat kuasa.

Dalam perkembangan sama, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa termasuk British Airways, Singapore Airlines, Emirates, KLM dan Air France dilaporkan melanjutkan penggantungan atau pengurangan perkhidmatan ke beberapa destinasi di Asia Barat sehingga penghujung Ogos, September atau Oktober ini.

Bagi syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines memaklumkan laluan Kuala Lumpur-Doha masih beroperasi setiap hari manakala perkhidmatan lain ke Doha digantung sehingga 24 Oktober depan. Penerbangan ke Jeddah dan Madinah pula beroperasi seperti dijadualkan.

AirAsia X pula menangguhkan pelancaran laluan Kuala Lumpur-Bahrain-London Gatwick yang sebelum ini dijadualkan bermula 27 Ogos kepada Mac tahun depan, manakala Batik Air tidak mengumumkan sebarang perubahan operasi baharu.

Sehubungan itu, CAAM mengingatkan semua syarikat penerbangan supaya memaklumkan sebarang perubahan jadual kepada penumpang dengan segera, menyediakan bantuan sewajarnya kepada penumpang yang terjejas serta memastikan komunikasi yang jelas dan telus sepanjang tempoh gangguan.

Penumpang yang terjejas turut dinasihatkan menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan pilihan penjadualan semula, bayaran balik atau bantuan lanjut, selain memastikan maklumat perhubungan yang diberikan semasa tempahan sentiasa dikemas kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN