KUALA LUMPUR: Duopharma Biotech Berhad memperkukuh kedudukan jenama suplemen kesihatannya, Flavettes, menerusi pelancaran Kempen Merdeka 2026 bertemakan “Flavettes Setia Menemani Setiap Generasi.”
Ini sekali gus memperluaskan kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia, Watsons Malaysia dan Kapten Batik bagi merancakkan permintaan pengguna serta memperkukuh nilai jenama tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Duopharma Biotech, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid berkata, selepas lebih tiga dekad berada di pasaran, Flavettes kini berkembang daripada jenama yang sinonim dengan vitamin C kepada portfolio produk kesihatan, kesejahteraan, kecantikan dan penjagaan kulit yang diperakui halal.
Katanya, kepelbagaian produk dalam bentuk effervescent, tablet kunyah dan serbuk sachet membolehkan syarikat memenuhi keperluan pengguna moden yang semakin mengutamakan penyelesaian kesihatan menyeluruh.
“Kerjasama bersama Tourism Malaysia, Watsons Malaysia dan Kapten Batik bukan sahaja mengukuhkan jenama Flavettes, malah mengangkat warisan budaya Malaysia sambil mempromosikan gaya hidup sihat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya pada majlis pelancaran kempen Flavettes Merdeka 2026 di sini hari ini.
Sebagai sebahagian daripada kempen itu, pelanggan yang berbelanja minimum RM58 untuk produk Flavettes di lebih 865 cawangan Watsons di seluruh negara akan menerima beg Mini Canvas Tote edisi terhad rekaan eksklusif Kapten Batik, selagi stok masih ada.
Selain itu, pek Flavettes Effervescent Vitamin C Glow 45s yang mempunyai pelekat kempen turut menawarkan baucar Kapten Batik bernilai RM15 bagi pembelian minimum RM100 di premis jenama berkenaan.
Bagi meningkatkan penglibatan pengguna, Flavettes turut mengadakan aktiviti pensampelan di lapan lokasi Watsons terpilih di seluruh negara. Pengguna boleh menukar botol vitamin C kosong dengan produk Flavettes Flazz Guard Passion Fruit 15s secara percuma, tertakluk kepada stok.
Kempen itu juga mendapat sokongan Tourism Malaysia menerusi paparan bahan promosi di beberapa lokasi strategik termasuk KLIA Terminal 1, KLIA Terminal 2, KL Sentral, Malaysia Tourism Centre (MaTiC) dan Bangunan Sultan Abdul Samad bagi meningkatkan keterlihatan jenama kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.
Inisiatif berkenaan mencerminkan strategi pemasaran Duopharma Biotech untuk memperluaskan capaian pasaran melalui kerjasama rentas industri, di samping mengukuhkan daya saing jenama tempatan dalam segmen suplemen kesihatan dan kesejahteraan yang terus berkembang.
Dalam pada itu, Wan Amir-Jeffery berkata, Duopharma kini memasarkan produknya di sekitar tujuh hingga lapan negara, termasuk Singapura, Indonesia dan Filipina, dengan tumpuan utama terhadap pasaran Asia sebelum memperluaskan eksport ke pasaran lain.
“Kami turut melihat prospek industri vitamin dan makanan tambahan kekal positif dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang berikutan peningkatan kesedaran pengguna terhadap penjagaan kesihatan dan kesejahteraan selepas pandemik Covid-19.
“Segmen kesejahteraan dijangka terus berkembang dan menjadi antara pemacu utama pertumbuhan produk pengguna, khususnya dalam kalangan golongan muda yang semakin mengutamakan gaya hidup sihat,” katanya. –UTUSAN










