PETALING JAYA: Komposer, Ezra Kong kagum melihat kehebatan penyanyi, Daiyan Trisha yang sangat mudah memberikan emosi ketika merakamkan lagu di studio.
Ezra atau Ezra Kong Yi Jia, 38, berkata, proses rakaman lagu yang berjudul Jangan Lupa Jaga Dirimu itu berjalan lancar berikutan persediaan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Daiyan.
“Pertama kali kerja dengan Daiyan Trisha. Dia datang ke studio siap dengan pemandu Alphard merah jambu.
“Belum mula rakaman, aura sudah masuk dulu. Bila masuk studio, semua lirik sudah hafal,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Tambah Ezra, kebolehan Daiyan menyampaikan emosi mengikut keperluan melodi dengan mudah merupakan satu kelebihan besar buat lagu baharu tersebut.
“Apa saja perasaan yang lagu perlukan, dia boleh bagi. Baru saya faham kelebihan seorang pelakon yang juga menyanyi.
“Bukan sekadar sebut kata, tapi tahu cara memberinya nyawa. Begitulah jiwa seorang pengejar impian bernama Daiyan, ada sedikit garang, pandai berucap, saya pun takut sedikit,”
“Lagunya berjudul ‘jangan lupa jaga dirimu’. Sila dengar sekiranya ada masa terluang,” katanya.
Untuk rekod, Ezra Kong merupakan komposer yang sering menghasilkan lagu-lagu hit tempatan termasuk memenangi beberapa anugerah utama menerusi karya seperti Jampi, Hajat dan Anta Permana dalam Anugerah Juara Lagu (AJL).










