PETALING JAYA: Enam lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM8 juta, dua minggu lalu.
Tertuduh A. Ravichandran, 45; R. Elanggovan, 45; M. Jeyaraj, 43; Moses De Britto a/l John Patrick, 40; Ziyauddin, 33, dan Muhammad Afiq Safine, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama tujuh lagi individu yang masih bebas didakwa menculik Chui Kok Mun, 44, dengan niat meminta wang tebusan RM8 juta di sebuah restoran di Dataran Sunway, di sini, pada pukul 5.15 petang, 16 Julai lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan ia kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Peguam bela, T. Daneish yang mewakili De Britto memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan atas alasan anak guamnya yang juga ahli perniagaan syarikat minyak terpakai mempunyai tanggungan isteri dan anak.
Ravichandran, Elanggovan dan Jeyaraj yang diwakili peguam bela, Kailash Sharma turut merayu dibenarkan diikat jamin atas alasan mereka yang mengusahakan kedai cuci kereta mempunyai tanggungan keluarga.
Sementara itu, dua lagi tertuduh iaitu Ziyauddin dan Muhammad Afiq yang tidak diwakili peguam turut memohon supaya dibenarkan untuk dijamin.
Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin selain menetapkan kes untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 11 September ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki berjaya diselamatkan polis dalam tempoh 24 jam selepas dipercayai diculik sekumpulan suspek yang menuntut wang tebusan RM7 juta.
Mangsa diselamatkan menerusi satu operasi khas di sebuah unit kediaman di Shah Alam pada pukul 1 pagi.
Susulan kejadian itu, polis menahan beberapa suspek dengan dua antaranya iaitu seorang lelaki dan wanita dibebaskan serta dijadikan saksi pendakwaan dengan mengikat bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah. – UTUSAN










