IPOH: Enam beradik antara tujuh tertuduh berdepan hukuman mati di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Affandi Zulkafli, 41, bersama lima adiknya, Muhammad Khairul Azmil, 40; Shahrul Azwan, 38; Mohamad Shah Herman, 35; Muhamad Amirul, 29, dan Mohamad Hafizi, 27, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norizan Ridzuan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, enam beradik itu didakwa bersama-sama seorang lagi lelaki mengedar dadah jenis heroin seberat 118.87 gram di sebuah pondok tidak bernombor bersebelahan sebuah rumah di Kampung Che Zainal Tambahan 1, Chemor, Ipoh pada pukul 9.20 malam, 21 Julai 2026.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dihukum tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin manakala kesemua tertuduh yang merupakan penganggur itu tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Oktober depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Mahkamah turut menetapkan pertuduhan terhadap Mohd. Ismail Borhan, 43, dijalankan di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada sebelah petang berikutan dia masih menerima rawatan di hospital berkenaan.-UTUSAN










