Empat rakan didakwa edar 503.20 gram methamphetamine - Utusan Malaysia

Empat rakan didakwa edar 503.20 gram methamphetamine

EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 503.20 gram, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Empat lelaki berdepan hukuman mati di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 503.20 gram, minggu lalu.

Tertuduh, Tugiman Mistat, 54; Zulkifli Abdul Halim, 40; Mohd. Ashiq Mohd. Saed, 40; dan Fitri Hafifi Mohd. Hassan, 35, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Asma Nahdiyya Che Ab. Rahim.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 503.20 gram di sebuah rumah di Lorong SM 2D, Fasa 2D, Seri Manjung pada pukul 3.30 petang, 26 Jun 2026.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dihukum tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainarida Emilia Zaidi manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 30 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN