Empat langkah perkasa institusi wakaf negara - Utusan Malaysia

Empat langkah perkasa institusi wakaf negara

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memukul gong simbolik perasmian Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Kuala Lumpur semalam. Baginda diiringi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengemukakan empat langkah strategik bagi memperkasa institusi wakaf negara agar lebih berdaya saing, progresif dan mampu memenuhi keperluan ummah dalam era moden.

Cadangan pertama adalah penubuhan kumpulan kerja rundingan antarabangsa untuk mengintegrasikan Prinsip Teras Wakaf Indonesia, piawai­an AAOIFI dan kerangka Kazakhstan dalam satu set prinsip teras bersama.

Baginda bertitah, prinsip bersama itu boleh diterima pakai secara sukarela oleh mana-mana institusi wakaf dan bidang kuasa tanpa menjejaskan kuasa perlembagaan mana-mana negeri atau negara.

“Kedua, mempercepatkan pe­nyerapan platform wakaf tunai digital menerusi papan pemuka awam masa nyata (real­-time) yang telus bagi membolehkan penderma menjejaki sumbangan mereka secara langsung.

“Ketiga, melancarkan projek rintis Wakaf untuk Keamanan dan Ketahanan Planet (Waqf for Peace and Planetary Resi­lience) di kelompok masjid dan pusat komuniti di ASEAN bagi membiayai tenaga solar serta infrastruktur air mesra iklim.

“Keempat, memastikan pia­gam institusi wakaf mendaf­tarkan prinsip keseimbangan, keadilan dan kerahiman daripada kerangka al-Mizan sebagai kriteria tatakelola yang mengikat,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika menyempurnakan pembukaan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa Pertubuhan Ke­bajikan Islam Malaysia (PERKIM) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Sultan Nazrin bertitah, an­tara pendekatan inovatif yang boleh dicontohi adalah model mikrowakaf yang memboleh­kan individu membuat sumbangan digital secara kecil-kecilan dan berkala, sebelum dihimpunkan menjadi dana wakaf berskala besar.

Titah baginda, pentadbir institusi wakaf perlu berfikiran inovatif, berani meneroka kaedah baharu dan menterjemahkan idea kepada tindakan, di samping sentiasa berpanda­ngan jauh dalam me­rancang masa depan institusi.

“Harapan saya untuk konvensyen ini adalah sesuatu yang bersifat praktikal, supaya kita bersurai bukan sahaja dengan rasa terinspirasi tetapi juga dengan tekad,” titah baginda.

Menyentuh mengenai harta wakaf, Sultan Nazri bertitah, terlalu banyak yang terbiar tanpa dimanfaatkan termasuk tanah yang tidak diusahakan, rekod yang tidak lengkap, hak milik yang boleh dipertikaikan dan aset yang gagal direalisasikan potensi.

Titah baginda, kejujuran dan tadbir urus yang baik merupakan asas penting dalam memastikan institusi wakaf terus diyakini dan mampu melaksanakan dengan berkesan.

Baginda bertitah, umat Islam perlu jujur dalam menilai realiti semasa yang dihadapi, seterusnya mengambil langkah konkrit bagi memelihara kewibawaan institusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN