KOTA KINABALU: Dua perhimpunan aman berlangsung serentak di pusat bandar di sini hari ini dengan situasi keseluruhan terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 3.0 yang dianjurkan kumpulan mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disertai kira-kira 20 hingga 30 peserta yang berarak dari Suria Sabah ke Dataran Todak Waterfront dengan berpakaian warna kuning.
Pada masa sama, Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 yang menghimpunkan kira-kira 600 peserta berarak dari Wisma Merdeka menuju ke Dataran Deasoka dengan memakai pakaian berwarna hitam.
Wakil aktivis Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 3.0, Akmal Rizal berkata, himpunan itu disertai mahasiswa, golongan belia, wakil NGO serta masyarakat sivil bagi menyatakan pendirian menolak rasuah dan segala bentuk penyelewengan.
Menurutnya, perhimpunan itu turut membawa beberapa tuntutan kepada kerajaan selain menegaskan penganjur tidak menerima sebarang dana daripada mana-mana parti politik.
“Kami turun atas kapasiti sendiri, bukan didanai mana-mana parti politik. Kami juga bersedia memberi kerjasama sekiranya disiasat berhubung dakwaan menerima dana daripada mana-mana pihak,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, program berkenaan diadakan bagi menzahirkan pendirian masyarakat yang mahukan keamanan di Sabah selain sebagai reaksi terhadap penganjuran Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 3.0.
Katanya, perhimpunan itu turut bertujuan mengelakkan kejadian berunsur provokasi seperti pembakaran poster pemimpin negeri daripada berulang.
Beliau mendakwa Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 3.0 hanya disertai sekitar 20 hingga 30 peserta dan menyifatkan sambutannya tidak mendapat sokongan seperti diharapkan penganjur.
“Kami mengadakan perhimpunan ini bagi menzahirkan rasa cinta kepada negeri Sabah kerana kami mahukan keamanan.
“Kami juga boleh mengadakan demonstrasi seperti mereka, namun persoalannya untuk apa demonstrasi itu diadakan.
“Ini adalah mesej yang ingin kami sampaikan kepada pihak-pihak yang cuba memporak-perandakan negeri Sabah,” katanya.
Menurutnya, peserta Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan kerajaan negeri atas faktor kestabilan dan keamanan di Sabah.
Kedua-dua perhimpunan dipantau anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berlangsung dalam keadaan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini. – UTUSAN










