KUALA LUMPUR: Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan berlangsung pada 11 Ogos ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesi khas itu diadakan pada tarikh berkenaan selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“11 Ogos, sesi khas Parlimen. Saya sudah berbincang dengan Speaker dan beliau pun setuju. (Sesi) bermula 10 pagi sehingga petang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan ibu pejabat baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank di sini, semalam.
Krisis kewangan TH yang bermula dengan isu ketidakpadanan aset dan liabiliti membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar, sebelum disusuli penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Selepas TH melalui proses penstabilan kewangan dan operasi, kelmarin Jemaah Menteri bersetuju mengelaskan semula serta mendedahkan laporan RCI kepada umum, selain memutuskan siasatan lanjut oleh badan penguat kuasa diteruskan berdasarkan dapatan berkenaan.
Laporan itu menggariskan 25 syor penambahbaikan dengan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripadanya manakala agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 yang diumumkan baru-baru ini membuktikan institusi itu kini berada dalam keadaan lebih baik.
Perdana Menteri berkata, prestasi gemilang TH sejak penubuhannya hampir tersungkur disebabkan keterlanjuran, tamak haloba dan tarikan nafsu serakah yang memusnahkan.
Anwar berkata, institusi umat Islam itu juga tercemar akibat kecuaian dan tidak menjaga aspek kewangannya.
Katanya, beliau bersyukur kerana krisis melanda TH yang diilhamkan oleh Prof. Diraja Allahyarham Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid itu dapat dikesan lebih awal dan dipulihkan kepada matlamat asalnya.
“TH sebuah gedung mewah, institusi yang punya sejarah gemilang, diusulkan oleh seorang pejuang, pemikir, sarjana ulung, Prof. Diraja Ungku Aziz dan mencatat prestasi gemilang memberi khidmat kepada ratusan ribu jemaah.
“Tetapi hampir tersungkur kerana kecuaian, tidak menjaga institusi termasuk aspek kewangannya kerana keterlanjuran, tamak haloba dan tarikan nafsu serakah yang memusnahkan.
“Alhamdulillah, dapat dikesan awal dan dipulihkan. Saya yakin institusi TH itu akan terus cemerlang,” katanya. – UTUSAN










