Dedah laporan RCI TH elak isu terus dijadikan bahan politik

Dedah laporan RCI TH elak isu terus dijadikan bahan politik

MUJAHID YUSOF RAWA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) bakal menoktahkan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang menjadikannya isu tersebut sebagai modal politik.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, langkah itu penting supaya isu TH tidak terus diputar-belitkan, khususnya berkaitan proses pemulihan dan penstrukturan semula institusi tersebut antara 2018 hingga 2020.

Mujahid yang merupakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) antara 2018 hingga 2020 berkata, beliau beberapa kali membangkitkan perkara itu di Dewan Negara dengan bertanyakan bilakah laporan RCI berkenaan akan didedahkan kepada awam, sejak awal 2023 lagi.

“Jawapan yang saya dapat daripada menteri bertanggungjawab dalam Kerajaan Perpaduan ialah laporan berkenaan masih tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Saya menuntut di Dewan Negara yang mulia pendedahan RCI untuk mengelakkan isu ini menjadi tujuan politik memandangkan isu TH ini berlegar sekitar memutarkan-belitkan isu pemulihan TH dari 2018- 2020 .

“Sewaktu saya memegang portfolio Menteri Hal Ehwal Agama (2018-2020), saya bertanggungjawab memulakan dan melaksanakan operasi penstrukturan semula Tabung Haji yang berada dalam keadaan defisit pada kadar RM10 bilion jurang antara aset dan tanggungannya,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Mujahid berkata, reputasinya terjejas akibat penyebaran dakwaan di media sosial yang mengaitkan beliau sebagai individu bertanggungjawab menjual aset TH kepada bukan Islam serta menteri yang merosakkan TH.

Katanya, keadaan itu berlaku walaupun beliau memperoleh kemenangan dalam kes mahkamah berkaitan dan penjelasan mengenai isu berkenaan telah disiarkan menerusi media sosial serta portal berita utama.

Beliau berkata, sehingga kini isu TH masih digunakan bagi memburukkan PH dan dirinya dalam kempen pilihan raya negeri, termasuk yang terkini di Johor dan kini di Negeri Sembilan.

“Tibalah masanya kemuncak kebenaran didedahkan siapa sebenarnya yang menjadi dalang kepada keruntuhan TH dan siapa sebenarnya yang berusaha menyelamatkan TH.

“RCI TH dimulakan pada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah diasak oleh Pas yang menjadi kerajaan ketika itu. Saya dipanggil sebagai saksi di hadapan panel suruhanjaya sebagai menteri bertanggungjawab sesi 2018-2020 semasa usaha pemulihan TH dijalankan,” katanya.

Mujahid berkata, inisiatif pemulihan itu kemudiannya dijadikan kesempatan oleh parti politik tertentu, khususnya Pas dan UMNO yang ketika itu menjadi pembangkang, untuk menyerangnya dengan dakwaan bahawa aset TH dijual oleh beliau dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Katanya, cybertrooper Pas dan UMNO termasuk beberapa pemimpin parti berkenaan terus menyebarkan dakwaan berkaitan TH sehingga meletakkan namanya sebagai individu yang didakwa bertanggungjawab merosakkan institusi berkenaan.

“Saya telah menghadiri debat awam anjuran Sinar Harian (rujuk debat Tabung Haji di YouTube) pasca kejatuhan PH 2020 menjawab segala fitnah berhadapan dengan mantan Pengerusi TH, Datuk Seri Azeez Rahim ketika itu,” katanya.

Mujahid berkata, beliau turut mengemukakan tuntutan saman fitnah terhadap Setiausaha Agung UMNO berhubung dakwaan mengenai saham TH dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikatakan dilepaskan.

Katanya, pihak terbabit kemudiannya memohon maaf secara terbuka sebagai syarat penyelesaian yang dicapai di luar mahkamah.

Beliau berkata, beliau turut disaman oleh bekas Ketua Dewan Ulamak Pas Shah Alam, Ahmad Dusuki Abdul Rani selepas menjawab dakwaan bahawa aset TH telah dijual kepada bukan Islam.

“Namun beliau kalah dalam samannya kerana komen saya kepada fitnahnya itu adalah adil dan berjustifikasi. Beliau diarahkan membayar kepada saya kerana kalah dalam samannya,” katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Azeez Rahim ketika dihubungi enggan mengulas berhubung isu RCI tersebut sebaliknya hanya akan memberi komen selepas ia didedahkan kepada umum.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tiada masalah untuk mendedahkan laporan RCI berkaitan TH kepada umum namun perlu berbincang terlebih dahulu dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berhubung prosedur untuk menerbitkannya.

Katanya, sekiranya prosedur mendedahkan laporan RCI berkaitan TH itu perlu dirujuk kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu, ia akan didedahkan selewat-lewatnya Rabu depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN