KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan akan terus memantau perkembangan isu membabitkan pelarian etnik Rohingya di ibu negara serta bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa bagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, DBKL sentiasa bersedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya diperlukan dalam menangani sebarang isu berkaitan.
“Jika memerlukan kerjasama DBKL, kita sentiasa membantu. Kita melihat kepada keadaan semasa dan pihak PDRM akan sentiasa berhubung dengan kita sekiranya terdapat keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi turun padang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fadlun berkata, setiap individu termasuk warga asing yang berada di negara ini tertakluk kepada undang-undang sedia ada, termasuk peraturan di bawah bidang kuasa DBKL.
Terdahulu, ratusan etnik Rohingya yang menetap di perkampungan nelayan Kuala Muda, Penaga, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dipercayai dipindahkan dari kawasan itu sebelum ‘membanjiri’ pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Bukit Petaling, di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, pihaknya telah memindahkan seramai 113 individu yang terdiri daripada seorang lelaki Iraq, seorang wanita Somalia dan seorang wanita Indonesia yang merupakan isteri kepada lelaki Rohingya.
Menurut beliau, pemindahan pelarian Rohingya pula membabitkan 36 lelaki, 21 wanita, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan berusia antara satu bulan hingga 60 tahun.
Katanya, kesemua mereka dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama wakil UNHCR kira-kira pukul 8.50 malam semalam.
Difahamkan, semua pelarian yang memiliki dokumen UNHCR yang sah telah dibenarkan meninggalkan IPK Kuala Lumpur sebelum bergerak ke lokasi yang ditetapkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).-UTUSAN










