SEREMBAN: Penolong Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Lee Kai Yet dipilih calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, Kai Yet dicalonkan bagi menggantikan penyandang, Yap Yew Weng yang telah berkhidmat selama tiga penggal sejak 2013.
Menurut beliau, meski tampil sebagai muka baharu pada pilihan raya kali ini, Kai Yet bukanlah asing dalam parti kerana telah bersama DAP sejak 2008.
“Beliau merupakan seorang peguam dan telah berkhidmat bersama parti selama 18 tahun. Sudah tiba masanya beliau melangkah ke hadapan serta menawarkan diri sebagai calon DUN Mambau.
“Dengan pengalaman yang dimiliki serta latar belakang sebagai peguam, beliau mampu membawa perspektif baharu ke DUN di samping memperkukuhkan pasukan DAP,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas mengumumkan calon DAP bagi DUN Mambau di Bilik Gerakan DAP DUN Mambau di sini, hari ini.
Anthony Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, pengumuman calon baharu dibuat lebih awal bagi memberi ruang kepada mereka membuat persediaan dan memperkenalkan diri kepada pengundi.
Katanya, langkah itu penting memandangkan calon baharu memerlukan lebih banyak masa untuk dikenali berbanding penyandang yang mempunyai kelebihan kerana telah dikenali di kawasan masing-masing.
“Sebab itu kita membuat pengumuman lebih awal khususnya bagi calon-calon baharu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, DAP Negeri Sembilan akan terus menampilkan beberapa lagi muka baharu sebagai sebahagian daripada proses ‘peremajaan’ parti.
Katanya, langkah berkenaan merupakan amalan biasa bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dengan memberi peluang kepada pemimpin daripada generasi lebih muda.
“Akan ada lagi pengumuman dalam tempoh seminggu ini. Memang akan ada muka baharu kerana terdapat pemimpin yang telah lama berkhidmat dan memberi laluan atas faktor usia.
“Ini adalah proses peremajaan yang biasa dalam DAP bagi memastikan kesinambungan parti dapat diteruskan. Kita mahu memberi peluang kepada pemimpin yang lebih muda, kebanyakannya dalam lingkungan usia 30-an dan 40-an,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Yew Weng menang dengan majoriti 14,940 undi menewaskan dua orang calon lain.-UTUSAN










