Daniel Fong tetap jayakan babak terjun laut walau diserang demam panas - Utusan Malaysia

Daniel Fong tetap jayakan babak terjun laut walau diserang demam panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGSAR: Pelakon, Daniel Fong, berdepan ujian apabila diserang demam panas sehingga badannya menggigil, dipercayai akibat influenza, ketika menjalani penggambaran drama Yes! Captain Zul Aaryan di Langkawi, Kedah.

Menurut Daniel, walaupun menggagahkan diri hadir ke lokasi penggambaran, dia akhirnya terpaksa mengambil cuti sehari selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.

“Saya ada menjalani pemeriksaan di Langkawi, tetapi doktor memaklumkan tiada apa-apa. Namun sebaik sahaja pulang dari Langkawi, seorang demi seorang kru produksi dan pelakon lain pula jatuh sakit.

“Rupa-rupanya ada yang membuat pemeriksaan dan disahkan menghidap influenza. Jadi, boleh dikatakan virus itu bermula daripada saya kerana sejak hari kedua di Langkawi lagi saya sudah tidak sihat.

“Ada babak yang saya jalani ketika benar-benar sakit. Sampai satu tahap saya langsung tidak mampu bangun dari katil. Buat pertama kali sepanjang kerjaya, saya terpaksa menghubungi penolong pengarah untuk memohon berehat sehari,” katanya.

Daniel berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan eksklusif drama Yes! Captain Zul Aaryan di TGV KLCC, di sini, baru-baru ini.

Menurut Daniel, sebelum mengambil cuti sakit, dia tetap melunaskan tanggungjawab menjayakan beberapa babak mencabar termasuk adegan terjun ke laut.

“Tiga hari saya demam, tetapi saya tetap meneruskan penggambaran. Cuma sehari sahaja saya benar-benar tidak mampu. Saya juga memaklumkan kepada pihak produksi bahawa jika mereka memerlukan saya di set, saya akan cuba sedaya upaya hadir.

“Bila dikenang semula memang agak lucu. Hari pertama di Langkawi saya begitu teruja menikmati pemandangan matahari terbenam, tetapi masuk hari kedua terus jatuh sakit.

“Ketika itu kami menjalani penggambaran di atas feri, selain perlu melakukan babak terjun ke laut dan menunggang jet ski. Kalau penonton nampak wajah saya ceria dalam drama itu, hakikatnya ketika itu saya sudah pun demam.

“Memang sangat mencabar kerana saya tidak pernah mengalami keadaan seteruk itu. Selepas pulang ke Kuala Lumpur, saya masih batuk teruk sehingga terpaksa mendapatkan rawatan daripada pakar di hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Daniel mengakui berasa serba salah terhadap kru produksi dan rakan pelakon kerana jadual penggambaran terpaksa diubah susulan keadaan kesihatannya.

“Saya memang rasa bersalah. Apabila saya kembali sihat, giliran kru dan pelakon lain pula yang jatuh sakit.

“Sebelum ini, sepanjang Mei dan Jun pun saya kerap tidak sihat. Tahun ini jadual kerja saya sangat padat dan saya hanya mampu cuba menjaga diri sebaik mungkin.

“Sebagai pelakon, ini adalah tuntutan profesionalisme. Apabila sudah menerima tawaran berlakon, kita perlu memberikan komitmen sepenuhnya.

“Di hadapan televisyen, penonton melihat pelakon kelihatan sihat, tetapi hakikatnya ramai yang menahan sakit ketika berada di set. Kami tidak mahu keadaan itu menyebabkan penggambaran tertangguh dan menyusahkan kru produksi,” katanya.

Yes! Captain Zul Aaryan ialah drama bersiri 30 episod yang diadaptasi daripada novel karya Wnfhanna dengan judul yang sama.

Selain Daniel, drama tersebut turut dibintangi Jazmy Juma, Anna Jobling, Natasha Sass dan Nafiz Muaz. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN