PETALING JAYA: Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan dakwaan berhubung penyalahgunaan dana Akaun Amanah Pemulihan Aset adalah tidak berasas kerana semua penggunaan dana dibuat mengikut Arahan Amanah yang diluluskan.
MOF berkata, dana berkenaan hanya digunakan bagi tujuan yang dibenarkan, termasuk menampung kos operasi serta membayar balik hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd.
Menurut kementerian itu, dana tersebut turut digunakan bagi membayar balik pendahuluan pemegang saham kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) yang disalurkan sebelum ini bagi memenuhi obligasi kewangan kedua-dua syarikat berkenaan.
“Sehubungan itu, dakwaan bahawa berlaku penyalahgunaan dana Akaun Amanah Pemulihan Aset adalah tidak berasas memandangkan semua penggunaan dana dibuat mengikut tujuan, skop dan tadbir urus yang ditetapkan di bawah Arahan Amanah yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
MOF berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Ia bagi menjawab pertanyaan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) yang meminta kementerian menjelaskan sejauh mana dakwaan penyalahgunaan dana itu benar, memandangkan dana dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset diwujudkan bagi memenuhi obligasi kewangan berkaitan hutang serta komitmen 1MDB dan SRC International.
Menjawab soalan mengenai peningkatan hasil bukan cukai dalam Laporan Ekonomi Malaysia Suku Pertama 2026, MOF berkata, kerajaan menganggarkan hasil keseluruhan sebanyak RM343.1 bilion bagi 2026, merangkumi RM270.4 bilion hasil cukai dan RM72.7 bilion hasil bukan cukai.
Menurutnya, hasil bukan cukai bagi suku pertama 2026 meningkat 22.9 peratus kepada RM18.8 bilion berbanding RM15.3 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
“Hasil cukai merangkumi kutipan cukai langsung dan cukai tidak langsung, manakala hasil bukan cukai meliputi kutipan daripada lesen, pendaftaran dan permit, fi perkhidmatan, hasil jualan barangan, sewaan, faedah, pendapatan pelaburan, denda dan penalti serta sumbangan.
“Antara penyumbang kepada peningkatan hasil bukan cukai dalam tempoh itu ialah kutipan lesen dan permit, dividen Petroliam Nasional Berhad (Petronas) serta dividen daripada Bank Negara Malaysia,” katanya.- UTUSAN










