BANGSAR: Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha, mengakui kini lebih selektif dalam memilih individu yang layak dianggap sebagai kawan.
Menurut Daiyan atau Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, 32, dia mengambil keputusan menyekat beberapa individu di media sosial yang disifatkan mempunyai niat tersembunyi demi menjaga ketenangan diri.
“Apabila kita semakin matang, kita tahu dengan siapa kita perlu menjauhkan diri. Bagi saya, itu adalah satu pilihan demi ketenangan hati.
“Kita perlu cari kawan yang benar-benar boleh diharapkan, dipercayai dan sentiasa menyokong kita, bukan sekadar menunjukkan sokongan di depan tetapi sebaliknya di belakang.
“Kita tidak pernah tahu niat sebenar seseorang. Apabila semakin matang, kita boleh menilai sama ada seseorang itu boleh dipercayai dan layak berada dalam lingkungan pergaulan kita atau sebaliknya. Sebab itu saya memilih untuk menjauhkan tiga jenis manusia dan terus menyekat mereka,” katanya.
Daiyan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Anom Suraya di Balai Berita, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Penat itu berkata, tiga golongan yang disekatnya terdiri daripada individu yang gemar meniru, hanya memantau kehidupannya di media sosial tanpa pernah memberi sokongan serta mereka yang diketahui mengata dirinya di belakang.
“Demi ketenangan hati sendiri, saya buat keputusan untuk ‘block’ atau ‘mute’ tiga jenis orang. Mereka yang suka meniru, yang hanya melihat ‘stories’ saya tetapi tidak pernah berinteraksi atau menyokong hantaran saya, dan mereka yang saya tahu bercakap buruk mengenai saya di belakang.
“Saya mahu menjaga hati daripada perasaan negatif. Jadi, selamat tinggal. Semoga hidup awak baik-baik sahaja, jauh daripada saya,” katanya.
Mengulas mengenai pengalaman tersebut, Daiyan berkata, segala yang dilalui mematangkannya, terutama dalam soal meletakkan kepercayaan terhadap orang lain.
“Dalam industri ini kita tidak tahu siapa yang benar-benar ikhlas. Lebih-lebih lagi sekarang, ada sahaja yang kurang senang dengan apa yang kita capai.
“Apabila sudah ada pengalaman dan semakin matang, kita tahu lebih baik menjauhkan diri daripada individu tertentu.
“Saya anggap semua ini sebagai proses pendewasaan. Saya sudah lama berada dalam industri dan berkawan dengan ramai orang. Saya percaya ramai juga melalui pengalaman yang sama.
“Kadang-kadang ada orang yang kelihatan baik di depan, tetapi hakikatnya tidak seperti yang digambarkan. Kita mahu berkawan dan menyokong semua orang, namun tidak semua mempunyai niat yang sama. Lama-kelamaan saya sedar siapa yang wajar berada dalam hidup saya,” katanya.
Dalam pada itu, Daiyan mengakui tidak pernah menyesali keputusannya menjauhkan diri daripada individu yang bersikap negatif terhadapnya tanpa sebab yang jelas.
“Saya boleh rasa apabila ada individu seperti ini berada di sekeliling. Mereka memberikan aura negatif dan saya tahu mereka tidak begitu menyukai saya walaupun saya sendiri tidak tahu sebabnya.
“Apabila sering terserempak dengan mereka, saya rasa seperti kehadiran mereka mengganggu, sedangkan saya tidak pernah mengganggu mereka.
“Jadi, semakin lama saya semakin malas untuk mengambil peduli. Kalau mereka tidak suka saya, tidak mengapa. Mainlah jauh-jauh dan jangan dekat dengan saya,” katanya.
Mengakui kehidupannya kini lebih tenang, Daiyan berkata, setiap individu perlu menetapkan batasan supaya tidak menjadi mangsa manipulasi orang lain.
“Dari dahulu sampai sekarang saya lebih selesa dengan dunia sendiri. Saya tidak mengganggu orang, banyak menghabiskan masa di rumah, bermain dengan kucing, menulis lagu dan berlakon.
“Kalau ada orang yang hanya mahu memantau media sosial saya tetapi tidak pernah menyokong, sebaliknya mengata di belakang, saya tidak mahu beri ruang kepada mereka dalam hidup saya.
“Saya percaya penyakit ain itu wujud. Ada orang memandang kita dengan hati yang tidak baik. Jadi lebih baik mereka teruskan sahaja kehidupan masing-masing.
“Saya sangat mementingkan gerak hati dan tenaga di sekeliling. Saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya melindungi saya dan menjauhkan perkara-perkara seperti itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Daiyan kini tampil sebagai watak utama menerusi drama Anom Suraya, adaptasi novel karya novelis popular era 1990-an, Dr. Samsiah Mohd. Nor, yang juga merupakan ibunya. -UTUSANÏ










