PARIT: Cuaca panas yang berlarutan dan kerosakan sistem pam menyebabkan pesawah di Lambor Kanan di sini berdepan kekurangan bekalan air sehingga menjejaskan penanaman padi.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, keadaan itu menyebabkan sebahagian kawasan sawah mengalami kekeringan dan dipenuhi semak apabila bekalan air tidak mencukupi.
Menurutnya, hasil tinjauan bersama pesawah dan ketua blok mendapati masalah paling ketara berlaku di Blok 10 yang melibatkan kira-kira 1,000 ekar kawasan sawah.
Katanya, keadaan cuaca panas melampau turut memberi tekanan kepada sumber air sedia ada, manakala gangguan pada sistem pam memburukkan lagi keadaan pesawah di kawasan berkenaan.
“Daripada tiga pam yang terdapat di Rumah Pam Teluk Bakong, hanya satu yang berfungsi manakala dua lagi mengalami kerosakan dan sedang dibaiki.
“Akibatnya, bekalan air tidak dapat disalurkan dengan tekanan mencukupi ke kawasan sawah, terutama di Blok 10,” katanya pada sidang media di Lambor Kanan di sini hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan kerosakan pam berlaku selepas paras air Sungai Perak rendah sehingga menyebabkan pasir disedut masuk dan menjejaskan operasi pam.
Menurut Nordin, persediaan lebih awal sepatutnya dibuat bagi menghadapi keadaan cuaca panas melampau termasuk memastikan kemudahan pam berada dalam keadaan baik serta menyediakan pam bergerak sebagai langkah sokongan.
Katanya, kerajaan juga perlu mewujudkan jawatankuasa petugas khas bagi menangani kesan cuaca panas melampau terhadap sektor padi dengan melibatkan agensi berkaitan sehingga ke peringkat daerah.
“Sektor padi tidak boleh dilihat sebagai isu kecil kerana gangguan pengeluaran boleh memberi kesan kepada keterjaminan makanan, khususnya bekalan beras tempatan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Nurfitri Amir Muhammad berkata, corak cuaca ketika ini yang menyaksikan hujan lebat diikuti tempoh kering selama beberapa minggu turut memberi kesan kepada tanaman padi.
Menurutnya, kelewatan penyelesaian masalah air menyebabkan Lambor Kanan yang sepatutnya sudah memasuki musim kedua penanaman hanya sempat menjalankan satu musim tahun ini.
“Apabila sawah sudah dibajak tetapi air tidak ada, pesawah terpaksa menanggung kos tambahan kerana rumput kembali tumbuh dan kerja penyediaan tanah perlu dilakukan semula,” katanya. – UTUSAN










