Kumpulan Tarian Citra Pawana daripada Kolej Yayasan Saad (KYS) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya meraih Anugerah Emas pada International Youth Performing Arts Centre (YPAC) Jakarta 2026 yang diadakan di Teater Wahyu Sihombing, Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Mewakili Malaysia di pentas antarabangsa, pasukan itu mempamerkan persembahan yang mengagumkan menerusi keunggulan seni tari, teknik serta penghayatan budaya yang tinggi, sekali gus mendapat pengiktirafan dalam kalangan peserta daripada pelbagai negara.
Selain bersaing merebut kejayaan, Citra Pawana turut membawa misi memperkenalkan dan mengangkat keunikan warisan tarian masyarakat majmuk Malaysia kepada khalayak antarabangsa, sekali gus mempromosikan identiti budaya negara menerusi seni persembahan.
Selain merangkul Anugerah Emas, pasukan berkenaan berpeluang menerima tawaran biasiswa penuh (100 peratus) untuk menyertai Malaysia Arts Festival yang akan berlangsung pada November ini.
Pasukan Tarian Citra Pawana dianggotai oleh Erika Lyana , Zulaikha Hanny Raneea , Ainul Zaharah, Nur Nayla, Hannah Damia , Amni Humaira Alyssa Saiful dan Nur Izza Myiesha.
Pengiktirafan di peringkat antarabangsa itu terus mengukuhkan reputasi Citra Pawana sebagai salah sebuah kumpulan seni persembahan terunggul KYS.
Kejayaan tersebut juga menjadi inspirasi kepada warga KYS untuk terus mengejar kecemerlangan serta berani merebut peluang dalam mengembangkan potensi di pentas antarabangsa.-UTUSAN










