CIMB Islamic dinobat Bank Islam Terbaik Dunia 2026 - Utusan Malaysia

CIMB Islamic dinobat Bank Islam Terbaik Dunia 2026

AHMAD SHAHRIMAN MOHD SHARIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) dinobatkan sebagai Bank Islam Terbaik Dunia 2026 pada majlis Euromoney Islamic Finance Awards 2026, sekali gus menjadi bank Malaysia pertama menerima pengiktirafan global berprestij itu sejak anugerah berkenaan diperkenalkan.

Pengiktirafan tersebut mengukuhkan kedudukan CIMB Islamic sebagai peneraju pemikiran dalam kewangan Islam di peringkat antarabangsa, di samping mengiktiraf peranan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global.

Anugerah itu diberikan susulan kejayaan CIMB Islamic melaksanakan pendekatan Islamic-first yang menjadikan perbankan patuh Syariah sebagai tawaran utama merentas semua segmen pelanggan dalam francais CIMB Group di Malaysia.

Melalui integrasi penyelesaian perbankan Islam dalam ekosistem digital, keupayaan pasaran modal serta keseluruhan perjalanan pelanggan, CIMB Islamic berjaya membangunkan model operasi yang menawarkan pengalaman perbankan yang lebih menyeluruh, inovatif dan mudah diakses.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam Kumpulan CIMB, Ahmad Shahriman Mohamad Shariff berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu pencapaian penting bukan sahaja kepada CIMB Islamic, malah kepada industri kewangan Islam negara.

“Sebagai bank Malaysia pertama menerima anugerah ini sejak diperkenalkan, ia membuktikan kejayaan strategi Forward30 yang meletakkan perbankan Islam sebagai antara pemacu utama aspirasi CIMB Group untuk menjadi bank pilihan utama menjelang 2030.

“Berpandukan pendekatan Islamic-first, kami mentransformasikan perbankan Islam sebagai penyelesaian yang lebih bersepadu, inklusif dan mudah diakses bagi membantu individu, perniagaan serta komuniti mencapai kemajuan kewangan yang mampan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, usaha mengintegrasikan penyelesaian patuh syariah di setiap segmen pelanggan, disokong inovasi digital, kepakaran pasaran modal dan ekosistem kewangan komprehensif, menjadikan kewangan Islam sebagai pilihan semula jadi kepada lebih ramai pelanggan.

“Pengiktirafan itu hadir ketika CIMB Islamic terus merekodkan pertumbuhan kukuh merentasi perniagaan perbankan pengguna, pengurusan kekayaan, komersial dan borong, selain memperkukuhkan ekosistem perbankan digital serta pengurusan kekayaan bersepadu.

“Pada masa sama, CIMB mengekalkan kedudukan sebagai pengatur sukuk global terbesar dalam kalangan bank berpangkalan di ASEAN bagi tahun ke-16 berturut-turut,” katanya.

Di peringkat serantau, rancangan memisahkan Bank CIMB Niaga Syariah di Indonesia sebagai entiti berasingan dijangka mengukuhkan kedudukan bank itu dalam memenuhi keperluan kawal selia serta memperluaskan operasi. 

“Langkah tersebut dijangka meletakkan institusi itu sebagai bank Islam kedua terbesar di Indonesia, sejajar peningkatan permintaan terhadap perbankan Islam di negara berkenaan,” katanya.

Dalam aspek inovasi, CIMB Islamic turut menawarkan antara ekosistem pengurusan kekayaan Islam digital paling komprehensif di Malaysia dengan lebih 80 dana amanah unit patuh Syariah serta keupayaan pelaburan digital yang disepadukan melalui platform OCTO bagi pelanggan runcit dan korporat.

Bank itu juga terus memperluaskan penyelesaian kewangan Islam mampan yang memberi impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat.

Menurut Ahmad Shahriman, prospek industri kewangan Islam di ASEAN kekal cerah dengan potensi lebih besar dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

“Kami komited untuk terus memacu inovasi, memperkukuhkan amalan kewangan bertanggungjawab serta menawarkan penyelesaian yang mencipta nilai jangka panjang kepada pelanggan, komuniti dan ekonomi, selaras dengan tujuan kami untuk memajukan pelanggan dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan itu turut memperkukuhkan janji jenama Moving You Forward yang mencerminkan komitmen CIMB dalam memperkasa pelanggan serta komuniti menerusi penyelesaian kewangan yang mudah diakses, inklusif dan berteraskan tujuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN