JELEBU: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon menteri besar selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, BN mempunyai beberapa tokoh yang berpotensi untuk menerajui pentadbiran negeri sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
“Kami ada beberapa calon dan kami tidak kekurangan tokoh untuk menerajui kerajaan negeri.
“Tentunya apabila kami sudah mencapai kejayaan, pimpinan Pengerusi BN akan menentukan siapakah yang layak untuk dipilih sebagai Menteri Besar bagi mengetuai kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas proses penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Pertang, Sungai Lui dan Klawang di Dewan Besar Kuala Klawang, Jelebu hari ini. – UTUSAN










