Cabaran besar pastikan semua lagu dalam album dapat perhatian - Bunga - Utusan Malaysia

Cabaran besar pastikan semua lagu dalam album dapat perhatian – Bunga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi rap, Bunga mengakui kekangan kos serta strategi pemasaran menjadi antara faktor utama yang menyebabkan ramai artis kini lebih cenderung menghasilkan single berbanding album penuh.

Bunga atau Noor Ayu Fatini Mohd. Bakhari, 26, berkata, penerbitan album bukan sahaja memerlukan perbelanjaan yang besar, malah perancangan rapi bagi memastikan setiap lagu menerima perhatian pendengar.

“Saya sangat bersetuju dengan pandangan komposer Ajai yang menggalakkan artis menghasilkan album.

“Namun, proses menyiapkan sebuah album bukan mengambil masa sehari dua, sebaliknya boleh memakan masa sehingga bertahun-tahun.

“Sebagai artis yang pernah melalui proses itu, saya sendiri pening memikirkan bagaimana hendak mempromosikan 10 lagu dalam satu masa. Itulah cabaran paling besar yang dihadapi mana-mana anak seni,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas mengenai kos pembikinan album, Bunga yang melancarkan album Seharum Nama pada 2025 mengakui proses tersebut menuntut perbelanjaan yang tinggi.

Justeru, katanya yang kini bergelar artis independen, dia perlu menyusun strategi lain termasuk menjalinkan kolaborasi dengan pelbagai pihak bagi merealisasikan projek berkenaan.

“Menghasilkan album memerlukan dana yang besar untuk membayar produser, komposer, penulis lirik selain kos pembikinan video muzik (MV). Sebab itu ramai memilihjalan selamat dengan memberi fokus kepada penerbitan satu lagu pada satu-satu masa.

“Walaupun kini bergerak secara independen, saya tetap mempunyai perancanganmenghasilkan karya baharu. Alhamdulillah, saya akan bekerjasama dengan Sony Music bagi penerbitan lima lagu akan datang.

“Bagi saya, sangat penting untuk artis independen memahami selok-belok industri dan perniagaan muzik. Kita perlu tahu bagaimana hendak mendapatkan penaja, mengurus pelesenan serta menjalinkan kerjasama dengan syarikat rakaman.

“Gunakanlah peluang ketika masih bersama label untuk mempelajari setiap proses kerja mereka supaya apabila bergerak sendiri, kita sudah tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Ajai menggesa artis tempatan kembali menghasilkan album penuhberbanding hanya memberi tumpuan kepada penerbitan single bagi memperkukuh nilai sesebuah karya muzik. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN