PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan (PH), di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui bakal berdepan cabaran sukar di kerusi berkenaan walaupun atas status beliau sebagai Menteri Besar dan Ahli Parlimen Port Dickson.
Kata Pengerusi PH Negeri Sembilan itu, Linggi diketahui sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) oleh itu sudah tentu ia memerlukan kerja keras jentera untuk beliau menang di situ.
“Bukan mudah, memang sukar, apabila berdepan di kubu lawan, bukan satu perkara yang senang buat saya, tetapi kita kena berusaha, saya harap jentera di bawah dapat membantu dan pengundi saya harap dapat buat keputusan yang bijak.
“Setiap pertembungan itu berbeza, lawan dua atau tiga tetapi apabila berada di kubu orang bukan mudah, saya hanya melaksanakan amanah yang diberikan parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson di sini hari ini.
Bagi Pilihan Raya Negeri (PRN/ Negeri Sembilan di kerusi DUN Linggi itu, Aminuddin disaingi dua lagi calon termasuk penyandang, Datuk Mohd. Faizal Ramli dari BN dan calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md.Yunus.
Sementara itu, Mohd. Faizal berkata, berbanding semasa PRN yang lalu, cabaran kali ini tentu berbeza apabila Aminuddin sebagai Menteri Besar datang bertanding dan memberikan cabaran.
“Saya telah diberikan amanah dan tanggungjawab bagi mempertahankan kerusi BN di Linggi ini, saya akan terus bekerja dengan jentera parti bagi memastikan BN kekal di sini.
“Walaupun Linggi dikatakan kubu kuat BN namun ia bukanlah satu perkara mudah dan ia bukanlah satu kelebihan kerana setiap ruang yang ada ini akan digunakan sebaik mungkin untuk meraih undi,” katanya.
Pada PRN 2023 lalu, Mohd. Faizal menang menewaskan Zamri yang pada ketika itu mewakili Perikatan Nasional (PN) dengan 1,461 majoriti undi. – UTUSAN










