SEOUL: Kumpulan sensasi K-Pop, BTS, mengumumkan keputusan untuk tidak menghantar karya muzik mereka bagi dipertimbangkan dalam Anugerah Grammy 2027, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai layanan terhadap artis Asia dalam industri muzik antarabangsa.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu hantaran serentak di Instagram apabila ketujuh-tujuh anggotanya, RM, Jin, Suga, J-Hope, Jimin, V dan Jungkook, memuat naik kenyataan yang sama.
“Kami telah memutuskan untuk tidak menyertai Grammy pada tahun ini. Kami berharap muzik dapat didengari dan dihargai kerana nilainya sendiri, tanpa dibezakan berdasarkan wilayah atau bahasa,” menurut kenyataan kumpulan itu.
Walaupun tidak dinyatakan secara jelas sebab keputusan itu, namun peminat mula mengaitkan tindakan itu dengan penganjuran Anugerah Grammy yang dianggap masih mengasingkan artis Asia berdasarkan kategori tertentu.
Sebelum ini, BTS dijangka menjadi antara pencabar utama dalam beberapa kategori berprestij Grammy, termasuk Album Terbaik Tahun Ini (Album of the Year) menerusi album Arirang, yang menjadi antara paling laris tahun ini.
Single dari album berkenaan, Swim yang pernah menduduki tangga teratas carta di Amerika Syarikat, turut diramalkan berpotensi bersaing bagi kategori Lagu Terbaik Tahun Ini (Song of the Year).
Bagaimanapun, lagu itu tidak layak dipertandingkan dalam kategori baharu iaitu Persembahan Muzik Pop Asia Terbaik (Best Asian Pop Music Performance) kerana lebih 80 peratus liriknya dinyanyikan dalam bahasa Inggeris.
Mengikut peraturan Recording Academy, lagu yang bertanding dalam kategori tersebut perlu mengandungi penggunaan sekurang-kurangnya satu bahasa Asia.
Pengenalan kategori baharu itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan komuniti K-Pop di media sosial. Ramai peminat berpendapat anugerah tersebut bukan meraikan kepelbagaian artis Asia, sebaliknya mengasingkan mereka ke dalam kategori khusus.
BTS mengakhiri kenyataan mereka dengan penghargaan kepada para peminat yang dikenali sebagai BTS Army.
“Terima kasih kepada Army dan semua yang sentiasa bersama kami,” kata mereka. -UTUSAN










