BN terus bela dan pejuangkan kebajikan masyarakat luar bandar

BN terus bela dan pejuangkan kebajikan masyarakat luar bandar

MUHAMMAD Sufian Maradzi (kiri) menyantuni golongan peniaga kecil dan hasil tani yang a menjadi penggerak ekonomi di luar bandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar perlu terus diperkasakan bagi memastikan pembangunan kampung serta kebajikan penduduk sentiasa diberi perhatian.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi berkata, usaha itu diterjemahkan menerusi manifesto BN Negeri Sembilan yang memberi penekanan kepada pemerkasaan kampung, budaya dan adat.

Katanya, manifesto yang dibentangkan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengandungi sembilan teras yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat khususnya penduduk di kawasan luar bandar.

“Sumbangan kami kepada masyarakat luar bandar terlalu banyak, terutama menerusi manifesto BN Negeri Sembilan

“Manifesto itu memberi penekanan kepada usaha memperkasakan kampung, budaya dan adat di Negeri Sembilan menerusi pelbagai dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat kampung.

“Selain itu, terdapat sembilan teras yang telah dibentangkan dalam manifesto berkenaan. Bagi saya, ia memberi impak yang baik terutama dalam membantu masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Muhammad Sufian berkata, ketika Mohamad menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan, pelbagai dasar telah diperkenalkan termasuk jaringan keselamatan sosial, pencahayaan kampung dan rumah mampu milik yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Katanya, dasar-dasar tersebut banyak membantu penduduk terutama yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Sekiranya diberi mandat mempertahankan kerusi DUN Seri Menanti, saya mahu memberi tumpuan kepada aspek pendidikan untuk semua lapisan masyarakat.

“Ini kerana pendidikan amat penting kepada kanak-kanak sehingga warga emas kerana majoriti penduduk Seri Menanti tinggal di kawasan luar bandar.

“Ilmu mampu membantu golongan muda menghadapi cabaran apabila meningkat dewasa, manakala bagi warga emas, pelbagai majlis ilmu akan diterapkan di peringkat kampung, surau dan sebagainya bagi membantu meningkatkan nilai serta kualiti kehidupan mereka,” katanya.

Mengulas perkembangan kempen, Muhammad Sufian berkata, berbaki dua hari lagi sebelum hari pengundian menunjukkan sambutan masyarakat terhadap kempen BN setakat ini amat memberangsangkan.

Beliau berkata, pihaknya juga memberi penekanan kepada pendekatan menyantuni penduduk dari rumah ke rumah.

“Bagaimanapun, terdapat penduduk yang membangkitkan isu kebajikan termasuk bantuan yang pernah diterima sebelum ini tetapi tidak lagi diperoleh.

“Perkara itu diambil maklum, namun ia melibatkan prosedur operasi standard (SOP) jabatan yang perlu dihormati.

“Insya-Allah kita ambil ini sebagai satu ikhtiar untuk membantu mereka semula selepas selesai kempen ini,” katanya.

Pengusaha kuih tradisional di Kampung Gunung Pasir, Salmah Abdullah, 53, berkata, penduduk di kawasan itu bergantung kepada perusahaan kecil dan pertanian sebagai sumber pendapatan, justeru mereka memerlukan sokongan berterusan bagi mengembangkan ekonomi keluarga.

Katanya, usaha memberi perhatian kepada pembangunan masyarakat luar bandar mampu membantu pengusaha kecil meningkatkan pendapatan.

“Ramai penduduk di sini berniaga secara kecil-kecilan atau mengusahakan kebun. Apa yang kami harapkan adalah peluang untuk menambah pendapatan supaya kehidupan keluarga menjadi lebih baik.

“Kalau masyarakat luar bandar terus diberi perhatian, sudah tentu lebih ramai boleh menikmati manfaat daripada dasar yang diperkenalkan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN