JEMPOL: Perikatan Nasional (PN) akan membantu kempen Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkara sama juga akan dilakukan BN dalam usaha memastikan kerjasama antara kedua-dua gabungan itu berjalan baik sepanjang tempoh kempen selama dua minggu.
Katanya, kerjasama berkenaan menunjukkan perkembangan positif khususnya dalam usaha memastikan kuasa Melayu dan Islam terus memimpin di Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah, ia satu prestasi yang sangat baik. Semangatnya sangat baik khususnya kerjasama dengan BN. Yang penting kita pastikan kuasa Melayu, Islam memimpin di Negeri Sembilan.
“(Akan saling bekerjasama dalam kempen) Insya-Allah, dia (BN) kempen tempat kita, kita kempen tempat dia,” katanya selepas Proses Penamaan Calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Jempol hari ini.
Mengulas mengenai kemungkinan kerjasama antara kedua-dua gabungan itu dimuktamadkan, Abdul Hadi berkata, perkara tersebut akan dinilai dari semasa ke semasa.
“Kita dimaklumkan daripada awal (kerjasama PN dan BN), kita tidak gopoh. Kita akan melihat semasa ke semasa. Insya-Allah (tengok keputusan macam mana),” katanya.
Terdahulu, Abdul Hadi bersama beberapa pemimpin PN termasuk Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengiringi calon gabungan itu yang juga penyandang kerusi DUN Serting, Fairuz Isa.
Fairuz bakal berdepan saingan calon Pakatan Harapan (PH), Yaacob Mahmood dan Muhammad Noraffendy Mohd. Salleh (Bersatu). – UTUSAN










