REMBAU: Barisan Nasional (BN) belum memutuskan calon Menteri Besar sebaliknya parti itu memberi tumpuan penuh kepada usaha untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan kemenangan BN menerusi kempen yang berkesan, bukannya membincangkan soal calon Menteri Besar atau ‘poster boy’.
“Kami belum lagi bercakap pasal ‘poster boy’. Biarlah kami kempen elok-elok. Saya yakin parti akan membuat keputusan mengenai siapa yang akan diangkat sebagai ‘poster boy’ atau mengetuai pentadbiran sekiranya BN diberi menang pada pilihan raya ini.
“Namun, yang lebih penting ketika ini adalah jangan terlalu memberi tumpuan kepada soal ‘poster boy’ sehingga mengabaikan kerja dan kempen di lapangan. Pastikan kita menang dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Santai Bersama Tok Mat Hasan, di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pedas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong di sini, hari ini.
Mengulas cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dinamakan sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN), Mohamad menegaskan BN tidak berhasrat membentuk gabungan baharu.
Sebaliknya, beliau berkata, kerjasama antara BN dan PN ketika ini hanyalah berbentuk persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) demi mengelakkan perpecahan undi Melayu.
“Kami tidak ada kolaborasi apa-apa. Dia parti dia, kita parti kita. Tetapi ada persefahaman supaya tidak berlaku perpecahan undi orang Melayu.
“Sebab kita tewas dua pilihan raya kerana orang Melayu berpecah. Jadi kita cuba satukan semula.
“Walaupun berat hati, ada banyak kerusi majoriti Melayu kita serahkan berdasarkan persefahaman siapa menang kerusi itu, kerusi itulah yang diberi kepada mereka,” katanya. – UTUSAN










