MELAKA: Pentadbiran kerajaan negeri Melaka diterajui Barisan Nasional (BN) tidak terjejas selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Hal ini kerana BN masih menguasai 20 kerusi daripada 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tidak perlu bergantung dengan sokongan mana-mana parti.
Menurut Ab. Rauf, BN tidak pernah bergantung kepada mana-mana parti untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 dan memperoleh mandat mencukupi untuk mentadbir negeri secara bersendirian.
Katanya, kerjasama yang diwujudkan bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan hanyalah sebagai manifestasi semangat persefahaman yang dipraktikkan di peringkat Persekutuan.
“Sebenarnya, dalam pembentukan kerajaan Melaka selepas pilihan raya yang lepas, kita tidak membentuk kerajaan dengan mana-mana parti lain untuk mendokong pembentukan kerajaan.
“Saya mengambil pendekatan supaya semangat persefahaman yang ada di Putrajaya diterjemahkan di Melaka tanpa membentuk kerajaan bersama mana-mana parti. Kedudukan mereka lebih kepada melengkapkan semangat perpaduan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang DUN Melaka di Seri Negeri semalam.
Terdahulu, Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong mengumumkan semua wakilnya dalam pentadbiran negeri melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa serta-merta membabitkan seorang Exco, dua Timbalan Exco, seorang Timbalan Speaker DUN.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas semua wakil rakyat PH menolak Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang membolehkan pelantikan tujuh ADUN bukan eksekutif.
Katanya, kesemua mereka masih kekal sebagai ADUN di kawasan masing-masing sementara menunggu PRN yang dijangka Oktober ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, keputusan itu adalah hak mutlak parti berkenaan dan beliau tidak berhasrat menghalangnya.
“Keberadaan mereka dalam kerajaan ini umpama bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak.
“Kita tidak ada satu formal perjanjian yang menyebabkan kita boleh tuntut harta sepencarian. Kita bersanding tidak berpelamin,” katanya.-UTUSAN










