Bertanding logo sendiri uji kekuatan Bersatu tanpa Pas

Bertanding logo sendiri uji kekuatan Bersatu tanpa Pas

HASHIM SUBOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menggunakan logo sendiri atau bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menjadi pilihan terbaik kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menilai kekuatan sebenar tanpa Pas.

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu, Datuk Hashim Suboh berkata, tidak guna bertanding atas nama Perikatan Nasional (PN) sedangkan parti-parti di dalam gabungan berkenaan bergerak sendiri dan kucar-kacir yang akhirnya menyaksikan mereka kalah teruk di Johor.

“Sememangnya diakui Bersatu agak sukar tanpa Pas namun keputusan menggunakan logo sendiri adalah lebih baik atau bermaruah daripada melihat Pas mengarahkan ahlinya mengundi Barisan Nasional (BN) sebagai mana PRN Johor. Ia menyaksikan imej Bersatu lebih buruk jika masih ingin kekal menggunakan platform PN.

“Bersatu tidak mempunyai jentera dan mengharapkan Pas namun sekurang-kurangnya PRN Negeri Sembilan boleh menjadi platform kepada Bersatu menilai kekuatan sebenar sebelum mengatur semula langkah politik dalam berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Akhbar ini melaporkan, Bersatu difahamkan akan menggunakan logo sendiri bagi menghadapi kempen PRN Negeri Sembilan yang bermula Sabtu ini setelah mengambil kira keputusan PRN Johor baru-baru ini.

Hashim berkata, melihat kepada perkembangan politik semasa, nasib Bersatu tidak mustahil seperti Semangat 46 yang sekadar mampu bertahan sekitar dua penggal.

“Bersatu mempunyai kekuatan organisasi namun tidak mempunyai kekuatan jentera dan akar umbi yang kukuh. Sukar untuk Bersatu bertahan,” katanya.

Sementara itu, Hashim berkata, Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang bakal bertanding dalam PRN Negeri Sembilan dijangka tidak mampu mencapai keputusan yang cemerlang.

Katanya, nasib Wawasan dalam PRN berkenaan dijangka lebih teruk daripada Bersatu memandangkan parti itu hanya bergantung kepada Pas dan imej Datuk Seri Hamzah Zainudin yang belum meyakini rakyat.

“Adalah lebih baik semua parti di dalam PN menggunakan logo sendiri dan selepas itu nilai semula kekuatan parti masing-masing sebelum menyusun semula gabungan itu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN