Bersatu yakin menang 11 DUN

Bersatu yakin menang 11 DUN

MOHAMAD Hanifah Abu Baker
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin untuk menang 11 daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. 

Ketua Badan Pimpinan Ber­satu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, sasaran itu berdasarkan perkembangan semasa di lapangan lebih-lebih lagi melibatkan pertembungan dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).  

Katanya, ma­sih terlalu awal untuk membuat penilaian secara menyeluruh dalam minggu pertama kempen pilihan raya. 

“Setelah memasuki hari kelima kempen, kami melihat sekitar sembilan hingga 11 kerusi menunjukkan perkembangan positif. 

“Namun kami masih mahu menilai situasi sehingga penghujung minggu ini apabila kempen memasuki minggu kedua. Jika momentum ini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan, saya yakin jumlah kerusi yang berpotensi dimenangi bertambah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Mengulas kekuatan jen­tera parti, Mohamad Hanifah yang bertanding di DUN Labu berkata, jentera Bersatu untuk PRN kali ini digerakkan sepenuhnya oleh anggota tempatan. 

Disoal penyertaan Bersatu yang akan memecahkan undi Melayu kerana berlaku pertembungan tiga penjuru dengan Pakatan Harapan (PH) dan PN-BN di 21 kerusi, beliau berkata, parti itu berhak bertanding di mana-mana kerusi selepas dikhianati.  

“Apa yang berlaku hari ini adalah susulan daripada kegagalan kepemimpinan PN menguruskan hubungan antara parti komponennya sehingga Bersatu mengambil keputusan untuk bergerak sendiri.

“Tiada alasan mengatakan kami mengganggu undi Melayu. Malah Bersatu tidak mempunyai sebarang kerjasama politik dengan BN,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN