JELEBU: Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mengumumkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam untuk memilih calon Muslim yang berwibawa.
Katanya, Berjasa mengikuti rapat perkembangan pengumuman calon oleh parti-parti yang bertanding dalam PRN Negeri Sembilan.
“Berjasa hadir dan tampil mendengar serta memahami isi hati dan hasrat pengundi Melayu Islam di Negeri Sembilan dalam suasana politik tanah air yang penuh cabaran hari ini.
“Atas dasar prinsip serta memeriahkan sistem demokrasi di Malaysia, Berjasa mengumumkan untuk bertanding di kerusi N.10 DUN Nilai pada PRN Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zamani berkata, kajian sebelum ini mendapati antara sebab kurangnya peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Melayu adalah kerana tidak wujud calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.
Katanya, Berjasa melihat Nilai sebagai antara kawasan permulaan untuk orang Melayu Islam bersepakat meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.
“Senario sebelum ini yang menampilkan semua calon bukan Melayu di Nilai juga menjadi pertimbangan kepada keputusan ini.
“Berjasa kekal komited terhadap usaha penyatuan Melayu dengan tidak meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu yang sudah mempunyai calon Melayu daripada Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan),” katanya.-UTUSAN










