Bantuan belum tiba, kru kapal MV Berkat Tuah di kian derita

Bantuan belum tiba, kru kapal MV Berkat Tuah di kian derita

SEORANG kru kapal MV Berkat Tuah memberikan tuaman sejuk kepada rakan sekerja yang mengalami kelesuan haba (heat exhaustion) ketika bekerja baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nasib kru kapal MV Berkat Tuah ibarat ‘telur di hujung tanduk’ apabila terus dibiarkan tanpa sebarang jaminan kelangsungan hidup, mahupun jawapan pasti berhubung status mereka.

Kemelut itu dipercayai berpunca daripada kegagalan syarikat pengurusan menyelia operasi kapal serta menjaga kebajikan para pelaut yang kini terkapai-kapai menanti bantuan.

Pegawai Kedua MV Berkat Tuah, Mohamad Luqman Yahaya berkata, keadaan fizikal kapal dan mental kru berada pada tahap kritikal, selain bilangan tenaga kerja atas kapal sudah berkura ngan secara drastik sehingga tidak sampai separuh daripada kapasiti operasi normal.

“Kekurangan guna tenaga telah merencatkan kelancaran operasi dan menjejaskan keselamatan kapal berkenaan. Proses penyelenggaraan kapal kini terabai sepenuhnya berikutan ketiadaan bekalan alat ganti yang sepatutnya disediakan oleh pihak syarikat.

“Saya berasa kecewa terhadap sikap lepas tangan syarikat pengurusan kapal dan pemilik kapal yang enggan memikul tanggungjawab dan terus berdiam diri tanpa memberikan sebarang maklum balas berhubung nasib pekerja mereka.

“Tiada sebarang penjelasan mahupun jalan penyelesaian tuntas dimaklumkan, sekali gus membiarkan para kru terus menanti dalam ketidakpastian sehingga hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, satu mesyuarat secara dalam talian dilaporkan telah diadakan minggu lalu melibatkan beberapa pihak berkepentingan termasuk Kesatuan Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Jabatan Laut, wakil syarikat dan pihak kedutaan.

“Mesyuarat tersebut dilihat masih gagal membuahkan sebarang keputusan rasmi atau pelan tindakan konkrit untuk menyelamatkan kesemua kru yang terlibat.

“Jabatan Laut melalui Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) dilaporkan telah meluluskan peruntukan bantuan kewangan. “Walau bagaimanapun, proses penyaluran dana tersebut mengambil masa yang agak lama dan dijangka hanya akan diterima oleh kru kapal pada minggu hadapan,” katanya.

Mohamad Luqman berkata, para pelaut terlibat terpaksa bergantung kepada ihsan sumbangan yang disalurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa iaitu Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Krisis yang berpanjangan ini telah mencetuskan tekanan emosi dan bebanan kewangan yang berat, terutamanya bagi kru yang menjadi ketua keluarga.

“Rakan-rakan sekerja kini berada dalam situasi yang mendesak kerana komitmen kewa ngan seperti yuran persekolahan anak-anak dan sewa rumah sudah berbulan-bulan tertunggak.

“Keutamaan kesemua kru pada ketika ini hanyalah satu, iaitu untuk dibawa pulang ke pangkuan keluarga di tanah air dengan kadar segera memandangkan mereka sudah terlalu lama terkandas,” katanya.

Beliau berkata, tragedi pengabaian ini disifatkan sebagai pengalaman paling pahit sepanjang kerjaya mereka di lautan, terutamanya oleh segelintir pelaut senior. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN