Angan-angan Marsha Milan menjadi kenyataan - Utusan Malaysia

Angan-angan Marsha Milan menjadi kenyataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Marsha Milan tidak menyangka angan-angan untuk berkongsi satu pentas dengan kumpulan ungu, menjadi kenyataan apabila dia dipilih sebagai artis undangan sempena konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night In Kuala Lumpur yang akan diadakan pada 5 September ini di Idea Live Arena.

Bahkan, penyanyi yang kembali melonjak naik menerusi lagu Cinta itu berasa teruja kerana berpeluang berduet bersama vokalis kumpulan itu iaitu Sigit Purnomo Syamsuddin Said atau Pasha.

“Saya menyaksikan persembahan Pasha di Gegar Vaganza baru-baru ini. Terdetik dalam hati saya, seronok sungguh jika dapat berduet dengan beliau satu hari nanti.

“Jadi, saya gembira menerima tawaran ini, rasa seperti angan-angan yang saya simpan dalam diam akhirnya menjadi kenyataan,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.

Kata Marsha, muzik Ungu menjadi sebahagian perjalanan hidup ramai penyanyi di Malaysia dan disebabkan itu menjadi satu penghormatan kepada dirinya untuk berkongsi pentas dengan kumpulan itu.

Marsha dalam pada itu sedang giat memilih lagu yang akan dinyanyikan di konsert itu nanti.

“Saya ingin membawakan lagu sendiri tapi buat masa ini saya masih dalam proses memuktamatkannya. Ianya masih dibincangkan lagi. Berkenaan lagu duet pula, saya serahkan sepenuhnya kepada pihak Ungu untuk membuat pilihan,” ujarnya.

Pemenang Anugerah Juara Lagu tahun lalu itu menjanjikan persembahan yang terbaik, mengajak peminat menyanyi bersama-sama pada konsert itu nanti

“Apa yang penonton boleh jangkakan daripada saya ialah sebuah persembahan yang penuh dengan penceritaan dan emosi, disertai momen-momen ‘sing-along’ yang pasti mengimbau nostalgia. Insya-Allah, saya harap semua orang dapat menikmati setiap detik persembahan bersama.

“Walau apa pun, fokus utama kita termasuk saya sendiri adalah untuk benar-benar menikmati konsert ini dan mengimbau kembali kenangan melalui lagu-lagu hebat yang akan dipersembahkan oleh Ungu,” katanya lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN