AME Elite, KLK Land lancar i-Park@Coalfields GDV RM1.3 bilion - Utusan Malaysia

AME Elite, KLK Land lancar i-Park@Coalfields GDV RM1.3 bilion

DYLAN Tan Teck Eng (tengah) semasa gimik pelancaran i-Park@Coalfields di Coalfields, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AME Elite Consortium Berhad (AME Elite) dan KLK Land Sdn. Bhd. (KLK Land) memperkenalkan i-Park@Coalfields dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.3 bilion.

Pembangunan taman perindustrian premium seluas 61.18 hektar di Coalfields, Selangor itu diterajui oleh Central Gateway Development Sdn. Bhd. dijangka siap dalam tempoh kira-kira lima tahun.

Pengarah Central Gateway Development Sdn. Bhd., Dylan Tan Teck Eng berkata, i-Park@Coalfields merupakan kerjasama pertama antara AME Elite dan KLK Land yang menggabungkan kekuatan serta visi bersama membangunkan taman perindustrian yang bersedia memenuhi keperluan masa depan.

“Kami menyasarkan pembangunan ini menjadi destinasi pelaburan utama bagi syarikat multinasional dan tempatan dalam industri bernilai tinggi.

“Ia seperti pembuatan maju, semikonduktor dan elektronik, automotif, perubatan dan farmaseutikal, sektor berasaskan teknologi serta logistik. Berdasarkan rekod kejayaan AME Elite di Johor dan Pulau Pinang, kami kini membawa model pembangunan utama ini ke Selangor. 

“Digabungkan dengan kepakaran KLK Land dalam pembangunan perbandaran, projek ini mencerminkan komitmen kami untuk mewujudkan nilai jangka panjang kepada perniagaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan.

Usaha sama itu mewujudkan pembangunan mercu tanda baharu bersebelahan perbandaran Coalfields, sekali gus membawa ekosistem taman perindustrian i-Park milik AME Elite ke Selangor serta membentuk destinasi perindustrian yang bersedia menghadapi keperluan masa depan.

Terletak di koridor perindustrian baharu utara Lembah Klang dan menghadap Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR), i-Park@Coalfields menawarkan rangkaian hubungan yang baik ke lebuh raya utama, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

Beliau berkata, lokasinya yang berada dalam lingkungan 30 kilometer dari Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Subang turut meningkatkan daya tarikannya kepada syarikat yang berorientasikan eksport.

“i-Park@Coalfields merupakan pembangunan yang berdaftar di bawah GreenRE dan menawarkan penyelesaian perindustrian fleksibel menerusi gabungan infrastruktur terancang, kesalinghubungan digital yang bersedia untuk masa depan serta reka bentuk mampan.

“Taman perindustrian ini berfungsi sebagai platform pertumbuhan yang boleh diperluaskan, membolehkan syarikat meningkatkan kecekapan operasi dan mengembangkan perniagaan dalam jangka panjang melalui pilihan pembelian terus atau pajakan,” ujarnya.

Sebagai sebahagian daripada siri pembangunan i-Park AME Elite yang memenangi pelbagai anugerah, taman itu turut menggabungkan hab komersial dan gaya hidup dengan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV). 

Ia memberi penekanan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi pengurusan khusus serta sistem keselamatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong operasi 24 jam secara plug-and-play.

Pelan induknya merangkumi kilang berkembar untuk industri ringan dan sederhana, lot kilang sesebuah serta lot pegangan bebas bina mengikut keperluan (BTS) bermula daripada keluasan satu ekar. 

Melalui penyelesaian yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan, pembangunan itu mampu menyokong syarikat tempatan dan multinasional yang sedang mempelbagaikan rantaian bekalan global mereka. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN