KETIKA ribuan nama dan lagu artis Malaysia diguna untuk melatih model janaan kecerdasan buatan (AI) seperti dibongkar The Atlantic, pengkarya kita hanya mampu mengeluh dan menggeleng kepala.
Lagu yang dihasilkan hingga harus mengorbankan tenaga, masa, wang ringgit dirompak oleh sebuah mesin yang boleh memberikan pakej vokal, instrumen dan landskap bunyi hanya dengan satu klik, sesuai pesanan.
Sebuah perbahasan lebih dalam perlu segera difikirkan agar hak pemuzik Malaysia tidak dibenam kelajuan teknologi yang tidak pernah menunjukkan tanda-tanda akan perlahan.
Dalam kes ini, pemuzik sukar untuk mengeluarkan saman kerana tidak boleh membuktikan hubung kait memandangkan kita tidak tahu siapa yang menjadi pengguna akhir produk tersebut.
Malah, adalah sangat mustahil bagi pemuzik independen khususnya mengambil langkah menyaman model AI berikutan kos guaman yang tinggi selain tuntutan yang kompleks melibatkan hal teknikal.
Bagaimanapun, menurut peguam Harta Intelek dan Hak Cipta, Hafiz Zubir berkata, kerajaan perlu lebih pantas membina satu ekosistem yang boleh melindungi karya artis tempatan menerusi jalan undang-undang.
Ekosistem itu boleh dibangunkan menerusi sistem pelesenan AI secara automatik atau langganan (subscription), berbanding kaedah konservatif yang menuntut pengguna meminta kebenaran pemilik hak cipta secara satu per satu.
“Perbincangan tentang kawal selia model pelesenan AI sudah dibincangkan meluas di peringkat global. Malaysia boleh mengikuti langkah sama dengan menyelia platform AI generatif seperti Suno, Udio dan lain-lain dengan lebih bertanggungjawab.
“Pelesenan ini boleh dilaksanakan secara menyeluruh (blanket consent) menerusi badan Organisasi Pengurusan Kolektif sedia ada seperti MACP. Pemilik hak cipta yang memberi lesen kepada CMO dianggap telah membenarkan karya mereka digunakan untuk latihan AI berdasarkan struktur bayaran royalti yang ditetapkan.
“Alternatifnya, platform AI boleh mewujudkan sistem pangkalan data khusus di mana pemilik hak cipta boleh memasukkan lagu mereka secara sukarela. Karya yang berada dalam sistem dikira sudah mendapat kebenaran, manakala karya yang tiada dalam sistem dipahami sebagai tidak diizinkan untuk sebarang latihan AI,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabat Azmi & Associates di Putrajaya, baru-baru ini.
Sekiranya langkah ini diambil, ia akan menuntut penelitian semula perubahan berhubung pemakaian Akta Hak Cipta 1987, khususnya di bawah Seksyen 13.
Seksyen ini bukan sahaja menyentuh hak eksklusif pemilik hak cipta terhadap pengeluaran semula (reproduction) karya mereka, malah persoalan kritikal sama ada proses melatih AI (AI training) merupakan suatu pelanggaran hak cipta (copyright infringement), atau adakah ia boleh mendapat perlindungan di bawah pengecualian penggunaan wajar (fair use).
Dengan panduan dan perundangan yang jelas, lagu yang dijana atau dibantu AI boleh digunakan dalam konteks komersial, cuma ia lebih adil buat pengkarya asal kerana mereka mendapat hak yang sepatutnya daripada karya yang dicipta.

Namun, menurut Hafiz, persoalan teknikal lain yang bakal timbul juga perlu diteliti kerana ia menuntut perbincangan yang lebih rumit dan mendalam, seperti isu status kepemilikan bersama sesuatu karya serta jumlah atau kadar royalti yang dikenakan.
Selepas kerangka undang-undang dan garis panduan diperkemas, kerajaan boleh berhubung dengan platform teknologi yang terlibat demi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan.
“Kita perlu berhubung dan bekerjasama dengan platform AI supaya perkara ini dapat direalisasikan. Jika tidak, industri muzik kita akan terus berada dalam keadaan yang tidak pasti.
“Tanpa kerangka undang-undang yang jelas, pihak platform mungkin kurang berminat untuk mewujudkan sistem atau fungsi tambahan bagi meminta kebenaran pemilik hak cipta memandangkan ia melibatkan kos pembangunan sistem yang tinggi,” katanya.

Percepat perlesenan AI – Faizal Tahir
Gesaan untuk menggubal undang-undang berkaitan AI juga turut disokong penerima Anugerah Ikon Anugerah Juara Lagu ke-40, Faizal Tahir, bagi mengelak karya anak seni tempatan digunakan secara haram.. TV3
Faizal, 48, tidak menghalang sekiranya lagunya digunakan untuk melatih AI namun berharap agar perlesenan AI boleh memelihara haknya sebagai pemilik asal.
“Saya rasa isu tentang AI ini memang satu benda yang harus semua orang ambil serius. Banyak lagi benda yang kita perlu belajar, khususnya bila dengan AI ini mudah untuk kita punya maklumat atau data dicapai oleh mana-mana pihak dengan secara haram.
“Kalau benar seperti dilapor bahawa lagu saya diguna untuk melatih AI, saya hanya berharap ia memberi benda bermanfaat dan dapat digunakan dengan baik.
“Kita juga tak mahu orang senang-lenang gunakan kita punya produk tanpa ada hak yang mutlak. Sebab macam-macam benda yang tidak baik mungkin boleh terjadi.
“Jadi saya mengharapkan ada satu resolusi di mana setiap lagu mempunyai lesen yang khusus jika mahu digunakan sebagai bahan latihan AI,” katanya.

Jijik guna lagu saya latih AI – Daiyan Trisha
Bagaimanapun, penyanyi dan komposer, Daiyan Trisha memiliki pandangan berbeza apabila menolak sekerasnya karyanya digunakan untuk dijana oleh AI. Katanya, had penggunaan karya hasil janaan AI perlu disemak semula agar tidak mengganggu periuk nasi anak seni di Malaysia.
“Sepatutnya dua tahun lepas kerajaan sudah buat, sekarang ini bila sudah sampai ke tangan pengguna, kita boleh buat apa? Susah hendak dihentikan dan kawal.
“Saya faham AI ini macam mainan baru, semua orang nak cuba tapi lama-lama ia jadi sangat tidak munasabah, bebas dan tiada kawalan hingga ganggu pekerjaan anak seni.
“Saya sangat menentang penggunaan AI kerana bagi saya kerja mencipta dan penulis lagu perlu sentuh hati manusia. Sebab itu saya sangat menyampah lihat orang guna AI,” katanya.
Mengulas lanjut, Daiyan menyifatkan perbuatan menggunakan lagunya untuk menjana sesebuah karya baharu adalah sebuah tindakan tidak menghormati usaha keras penyanyi asal.
“Kita bukan lahir-lahir terus dapat sesuatu bunyi itu, ia datang daripada pengalaman bertahun-tahun, latihan untuk dapatkan serak-serak suara. Saya tak rasa tercabar dengan AI, tapi rasa jijik.
“Saya harap undang-undang untuk AI dikuatkuasakan secepat mungkinlah supaya untuk elak anak seni diambil kesempatan,” katanya.

Mereka cuma berilusi sahaja, tak layak digelar komposer – AG Coco
Senada dengan Daiyan ialah penerbit muzik dan komposer, AG Coco yang menentang sepenuhnya penggunaan janaan AI dalam karya walaupun sistem royalti diwujudkan menerusi perlesenan.
“Bila perlesenan wujud, maka orang boleh buat pilihan. Tapi saya secara peribadi tidak bersetuju lagu saya diguna walaupun mereka minta izin untuk pakai.
“Bagi saya mereka yang menganut AI tak kisah langsung tentang hargai seni. Mereka anggap muzik tidak penting sekadar hiburan sahaja. Sedangkan lagu yang dicipta datang dari hati dan seseorang komposer melalui perjalanan panjang untuk digelar komposer.
“Masalahnya mereka yang hasilkan lagu dengan janaan AI ini, ambil pula daripada sumber dicuri hanya delusional anggap diri komposer. Hanya sebab lagu mereka dapat jumlah penstriman tinggi dan ada pengikut.
“Saya mungkin tidak akan letak lagu untuk ‘declare’ boleh diguna walaupun dapat royalti. Saya percaya komposer perlu belajar proses menjadi pencipta lagu untuk sampai ke tahap tertentu,” katanya.










