SEREMBAN: Sebanyak 274 permohonan pembiayaan mikro dengan nilai keseluruhan sebanyak RM10.6 juta diterima pihak Agrobank menerusi siri program turun padang bertemu penjaja dan usahawan mikro di seluruh negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, jumlah itu menunjukkan inisiatif turun padang termasuk ke pasar-pasar tani mencapai objektif iaitu membantu golongan sasar terbabit.
Katanya, jumlah permohonan itu termasuk menerusi Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA yang mendapat sambutan memberangsangkan sejak dilancarkan.
“Kami bukan sahaja menawarkan pembiayaan pada kadar keuntungan rendah iaitu 2.5 peratus setahun malah turut menyediakan program pendampingan meliputi bimbingan pemasaran serta sokongan berterusan selama tiga bulan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan,” katanya.
Beliau ditemui pada Program Lawatan Pasar Tani Ampangan di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai.
Tengku Ahmad Badli Shah berkata, program di Pasar Tani Ampangan itu merupakan program kesepuluh dalam siri turun padang pihaknya dan ia akan diteruskan selepas ini di Perak dan Perlis.
Katanya, dalam setiap siri itu, sambutan diterima amat menggalakkan dan ia menunjukkan ramai penjaja dan usahawan mikro
ingin tahu lebih lanjut berkenaan pembiayaan dan manfaat ditawarkan Agrobank.
“Menerusi sesi turun padang ini, mereka lebih mengetahui segala kemudahan, faedah dan manfaat yang ditawarkan oleh pihak bank serta agensi kerajaan.
“Perkara paling penting adalah kita perlu turun padang menyantuni penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara supaya mereka mengetahui pelbagai tawaran yang disediakan, khususnya apabila Perdana Menteri mengumumkan bantuan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP),” katanya.
Ming Kai sementara itu berkata, inisiatif turun padang tersebut menepati hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya agensi kerajaan dan bank mencari golongan yang memerlukan bantuan.
“Sebab itu kena turun padang, bukan sekadar menunggu orang datang mendapatkan maklumat, sebaliknya kita sendiri perlu mendekati mereka.
“Semua skim bantuan sedia ada termasuk inisiatif baharu perlu diperjelaskan supaya penjaja memahami kemudahan yang ditawarkan sekali gus memudahkan mereka membuat permohonan,” katanya lagi.
Katanya, bantuan pembiayaan mikro tersebut adalah sangat penting terutama bagi membolehkan peniaga terlibat mengembangkan perniagaan mereka.
“Selain itu ada juga agensi yang berikan mereka bimbingan dan latihan termasuk berkaitan pemasaran digital sekali gus dapat bersaing dalam trend pasaran terkini,” katanya. – UTUSAN










