Ada sebab kenapa ibu bapa campuri urusan nyanyian anak-anak - Mila Jirin - Utusan Malaysia

Ada sebab kenapa ibu bapa campuri urusan nyanyian anak-anak – Mila Jirin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin tidak menafikan ada sebab yang membuatkan ibu bapa kepada artis zaman sekarang bertindak mencampuri urusan karier anak-anak mereka.

Namun penyanyi berusia 38 tahun itu berpandangan ibu bapa tidak perlu berbuat demikian kerana khuatir penglibatan mereka hanya mendatangkan impak negatif kepada karier nyanyian anak-anak mereka.

Katanya, cukup sekadar menyokong dan memantau di belakang tabir tanpa membabitkan diri secara total.

“Mungkin ada sebab kenapa mereka mencampuri urusan anak-anak mereka yang bergelar artis. Tapi pandangan saya, tak perlulah berbuat demikian.

“Cuma zaman sekarang berbeza, media sosial sudah menggantikan televisyen. Saya dulu dijaga pihak pengurusan, tidak dibenarkan berpeleseran di mana-mana, malah dulu dilarang melepak di restoran mamak.

“Disebabkan itu sampai sekarang ini saya jarang dilihat diluar, melepak bersama rakan-rakan. Sejak dulu memang hidup saya pergi dan balik kerja,” katanya.

Mila berkata demikian ketika majlis pelancaran lagu baharunya, Tersimpan Dalam Hati dan tayang video muzik lagu berkenaan, baru-baru ini.

Mila menegaskan ibu bapanya bukan penjaga yang mencampuri urusan nyanyiannya apatah lagi mengatur perjalanan kariernya sejak dulu lagi.

“Mereka tidak pernah mengekori apabila saya dipanggil membuat persembahan, mereka ada dunia sendiri.

“Malah ketika dulu, mereka tidak campur tangan apabila saya dilanda kontroversi dan sebagainya. Tetapi mereka tetap memberi sokongan di belakang saya.

“Ibu bapa saya bukan orang yang macam itu (lebih sudu dari kuah). Saya pun tidak pernah mendedahkan mereka kepada media, begitu juga halnya dengan anak lelaki saya.

“Semua ini hal peribadi dan saya simpan kisah keluarga saya. Itu juga pesanan suami, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha yang menyarankan agar saya tidak terlalu bercerita mengenai keluarga,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN