SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) dijangka menawarkan penyediaan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan diumumkan, malam ini.
Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin berkata, inisiatif itu merupakan antara fokus utama yang dihasratkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi merancakkan peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negeri.
Beliau berkata, sasaran itu mampu direalisasikan sekiranya BN diberi mandat untuk mentadbir Negeri Sembilan.
“Antara perkara yang menjadi fokus ialah hasrat Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN untuk menyediakan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda.
“Saya percaya kerajaan yang bakal dibentuk nanti akan berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu. Tetapi rakyat perlu memberi peluang kepada BN untuk kembali mentadbir,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas pencapaian pelaburan kerajaan negeri bernilai RM19.1 bilion, Mohd. Asna berkata, angka tersebut hanya melibatkan pelaburan yang telah diluluskan dan bukannya pelaburan yang benar-benar direalisasikan.
“Disebut pelaburan RM19.1 bilion, tetapi hakikatnya itu adalah pelaburan yang diluluskan, bukannya pelaburan yang sudah masuk. Itu boleh mengelirukan rakyat.
“Kalau pentadbiran kerajaan negeri cekap, pelaburan yang diluluskan sepatutnya dapat direalisasikan dengan lebih cepat,” katanya. – UTUSAN










