PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merekodkan seramai 248 individu yang gagal ditemukan selepas dikhuatiri lemas di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak 21 tahun lalu.
Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, pihaknya sudah menjalankan sebanyak 634 operasi mencari dan menyelamat di perairan ketiga-tiga negeri Pantai Timur itu untuk mengesan mangsa terlibat.
Katanya, sepanjang tempoh bermula 2005 itu, seramai 1,953 mangsa yang terlibat dalam pelbagai insiden di laut dengan 1,545 daripadanya dapat diselamatkan manakala 160 lagi ditemukan meninggal dunia.
“Selebihnya iaitu seramai 248 mangsa masih gagal dijumpai sehingga ke hari ini. Statistik itu membuktikan operasi mencari dan menyelamat di laut masih berdepan cabaran besar sekali gus menuntut tahap kesiapsiagaan tinggi selain kerjasama berterusan antara semua agensi penyelamat.
“Sehubungan itu, latihan seperti mencari dan menyelamat (Sarex) Jong Semerak 2026 sangat penting bagi memastikan setiap agensi sentiasa bersedia bertindak balas pantas, cekap dan berkesan apabila berdepan sebarang insiden kecemasan di laut,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Sarex Jong Semerak 2026 yang berlangsung selama dua hari di perairan Tok Bali dan Semerak, di sini hari ini.
Mazlan berkata, Maritim Malaysia terus meletakkan misi menyelamatkan nyawa di laut sebagai keutamaan utama di samping memperkukuh penguatkuasaan bagi mengekang jenayah maritim dan pencerobohan nelayan asing di perairan negara.
Katanya, Sarex Jong Semerak 2026 yang diselaraskan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan bersama Maritim Malaysia Kelantan menjadi platform penting untuk menguji keberkesanan prosedur tetap operasi mencari dan menyelamat maritim mengikut operasi standard Agensi Pengurusan Bencana Negara.
“Latihan ini turut menguji keberkesanan sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 sebagai medium penyelarasan maklumat kecemasan melibatkan lima agensi penyelamat utama.
“Sarex menghimpunkan 23 jabatan dan agensi dengan penglibatan lebih 200 anggota bersama 20 aset strategik yang terdiri daripada aset laut, darat serta udara.
“Penglibatan semua pihak membuktikan operasi mencari dan menyelamat memerlukan pendekatan kesemua agensi kerajaan bersama masyarakat bagi memastikan setiap insiden dapat ditangani secara pantas, cekap dan bersepadu,” katanya. – UTUSAN










