KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Hael Husaini, tidak menyangka dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-40 bersama penyanyi dan komposer, Faizal Tahir.
Menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu takdir yang indah, Hael atau Hal Husaini Razmi, 38, mengimbau detik awal perkenalannya dengan Faizal yang pernah membantunya ketika sesi uji bakat program One In A Million (OIAM) kira-kira dua dekad lalu.
Ketika itu, Faizal dan Hael berada dalam bilik ujibakat dan masing-masing menyayikan lagu sama iaitu Bad Day oleh Daniel Powter. Bagaimanapun akibat terlalu gemuruh, Hael terlupa lirik lagu tersebut sebelum dibantu Faizal.
“Saya bermula pada zaman yang sama dengan Faizal Tahir ketika musim uji bakat One In A Million.
“Ada satu momen yang saya tidak akan lupa. Ketika sedang menyanyi di hadapan juri, saya tiba-tiba terlupa lirik. Kebetulan Faizal berada di sebelah saya dan dialah yang membisikkan lirik tersebut.
“Kalau masih ada rakaman video itu, memang jelas kelihatan momen tersebut. Jadi, kalau hendak diikutkan, mungkin rezeki saya untuk benar-benar bersinar datang sedikit lewat berbanding beliau,” katanya kepada Utusan Malaysia pada sidang media AJL Ke-40 baru-baru ini.
Menurut penyanyi lagu Jampi itu, pengiktirafan yang diterimanya bersama Faizal pada AJL Ke-40 menjadi detik yang cukup bermakna dalam perjalanan seninya.
“Kami sentiasa berhubung sejak zaman uji bakat itu lagi. Sehinggalah saya melangkah ke pelbagai program lain, beliau kekal menjadi inspirasi saya.
“Alhamdulillah, selepas belasan tahun, hari ini saya dapat berdiri sebaris dengan salah seorang idola saya di pentas pengiktirafan tertinggi industri muzik,” katanya.
Mengulas kenyataan Faizal sebelum ini yang menyifatkan anugerah diterimanya sebagai petanda tidak lagi akan beraksi di pentas AJL, Hael, sambil berseloroh, berkata dia memilih pendirian berbeza.
“Betul juga, adakah ini petanda saya perlu berhenti?,” katanya sambil ketawa.
“Namun, bagi saya, tidak. Selagi khidmat saya masih diperlukan, walaupun mungkin suatu hari nanti bukan lagi sebagai penyanyi, saya akan terus menyumbang.
“Jika saya mampu membantu membina kerjaya bakat-bakat baharu menerusi penciptaan lagu, saya akan terus melakukannya,” katanya.
Terdahulu, Hael menerima pengiktirafan Ikon AJL40atas konsistensinya menghasilkan karya berimpak tinggi, manakala Faizal Tahir diiktiraf atas peranannya sebagai mentor dan penerbit yang berjaya melahirkan generasi baharu penggiat muzik. – UTUSAN










