1,306 pas PLKS tidak sah dibatalkan

1,306 pas PLKS tidak sah dibatalkan

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban ketika sidang media bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 1,306 Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikenal pasti diluluskan secara tidak sah susulan penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) akan dibatalkan serta-merta.

Pembatalan itu dilakukan susulan semua PLKS yang dikesan tidak memberi hasil kepada kerajaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, JIM juga sedang mengesan semua pemegang PLKS berkenaan yang dipercayai berada di pelbagai lokasi di seluruh negara dan berkerja dalam pelbagai sektor.

“Pertamanya tindakan kita ialah membatalkan semua PLKS yang diluluskan secara tidak teratur.

“Kita akan mengesan seterusnya di mana mereka berada. Buat masa ini mereka berada di merata tempat, namun kita tidak boleh dedahkan lokasi kerana bimbang mereka akan melarikan diri,” katanya pada sidang media bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Beliau berkata, JIM mengambil tindakan undang-undang terhadap warga asing yang terbabit selepas mereka dikesan.

Dalam pada itu, Zakaria menegaskan JIM mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap salah laku, penyelewengan dan rasuah

Jelasnya, JIM sakan terus bekerjasama dengan SPRM bagi memastikan semua individu yang terbabit dibawa ke muka pengadilan.

“Sekiranya pegawai JIM didapati terbabit dalam rasuah atau penyelewengan, jabatan itu bukan sahaja menyerahkan siasatan kepada SPRM malah akan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa sendiri, termasuk mengikut Akta Pasport selepas siasatan selesai.

“Siasatan mendapati sindiket tidak mungkin dapat memanipulasi sistem tanpa pembabitan orang dalam yang mempunyai akses serta pengetahuan mengenai sistem Imigresen,” ujarnya

Zakaria memaklumkan, modus operandi yang dilakukan adalah dengan memasang perisian tertentu pada komputer jabatan sebelum menggunakan nama pengguna pentadbir untuk mewujudkan akaun palsu bagi meluluskan PLKS secara tidak sah

Menurut Zakaria, mereka menggunakan ID pentadbir untuk mencipta ID palsu bagi meluluskan semua PLKS yang diluluskan secara tidak teratur di luar.

“Hasil pemeriksaan forensik bersama Siber Sekuriti Malaysia mendapati sistem Imigresen tidak boleh ditembusi dari luar sebaliknya eksploitasi berlaku melalui akses dalaman oleh individu yang mempunyai autoriti terhadap sistem,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan sindiket penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bersekongkol dengan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan menyediakan peranti dongle atau pemacu khas untuk dipasang di komputer sebelum meluluskan Pas PLKS secara tidak sah.

Menerusi kerjasama itu, SPRM menumpaskan kegiatan penggodaman MyIMMs berkaitan proses permohonan serta kelulusan PLKS secara tidak sah dengan penahanan 12 individu.

Mereka yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM serta seorang pegawai polis.

Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi pas yang dikeluarkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN