13 peserta perhimpunan menang kes saman, kerajaan diperintah bayar RM195,000

13 peserta perhimpunan menang kes saman, kerajaan diperintah bayar RM195,000

KOMPLEKS MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Kerajaan Malaysia untuk membayar RM195,000 kepada 13 peserta perhimpunan Malam Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi yang ditahan, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Anand Ponnudurai memutuskan demikian selepas mendapati penangkapan dan penahanan peserta itu selaku plaintif oleh polis adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana

Beliau memerintahkan setiap plaintif dibayar ganti rugi am sebanyak RM15,000 dengan faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

Bagaimanapun, pemberian ganti rugi berkenaan bukan mencerminkan kritikan terhadap pegawai polis terbabit, sebaliknya adalah selaras dengan prinsip perlembagaan.

“Penghakiman ini tidak seharusnya difahami sebagai kritikan mahupun terhadap kesahihan tindakan menyiasat kemungkinan pelanggaran peraturan yang berkuat kuasa.

“Isunya bukan sama ada polis mempunyai justifikasi untuk menyiasat kelakuan plaintif, sebaliknya ialah sama ada Parlimen telah memberikan kuasa undang-undang kepada polis untuk menangkap plaintif dalam keadaan khusus yang dibuktikan melalui bukti.

“Mahkamah ini secara konsisten mengiktiraf bahawa pegawai-pegawai berkenaan menjalankan tugas awam yang sukar dalam keadaan yang mencabar.

“Pemberian ganti rugi ini mencerminkan prinsip asas perlembagaan bahawa apabila kebebasan diri seseorang disekat selain daripada mengikut undang-undang, remedi undang-undang yang berkesan mestilah diberikan,” kata hakim itu.

Pada Disember 2021, kesemua plaintif memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penahanan ketika menyertai satu perhimpunan nyalaan lilin pada 19 Ogos tahun sama di Dataran Merdeka.

Kesemua plaintif mendakwa penahanan selama empat jam itu menyalahi undang-undang, selain mencabuli hak perlembagaan, dinafikan akses kepada peguam serta berlaku salah laku oleh penjawat awam (polis).

Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Anand mengisytiharkan hak plaintif di bawah Perkara 5(1) dan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan telah dicabuli.

Katanya, Perkara 5(1) memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan nyawa atau kebebasan diri kecuali mengikut undang-undang, selain menjadi tunjang utama yang menjamin kebebasan individu.

“Ia mencerminkan prinsip asas bahawa kebebasan setiap individu hanya boleh disekat apabila sekatan tersebut dibenarkan oleh undang-undang dan dilaksanakan mengikut cara yang ditetapkan.

“Kecacatan dari sudut perlembagaan bukan terletak pada objektif yang ingin dicapai oleh polis, tetapi pada ketiadaan kuasa sah di sisi undang-undang untuk melucutkan kebebasan plaintif secara paksa,” katanya.

Tambah Hakim Anand, bagi Perkara 5(3), kelewatan memberi akses kepada peguam itu bukan disebabkan niat untuk menafikan bantuan guaman, sebaliknya berlaku kerana pertimbangan operasi dan pentadbiran diberi keutamaan.

Bagaimanapun, katanya, faktor berkenaan tidak boleh mengatasi hak perlembagaan plaintif, yang sepatutnya diberikan peluang munasabah untuk berunding dengan peguam sebelum langkah siasatan penting dijalankan.

“Mahkamah seterusnya mempertimbangkan aduan di bawah Perkara 5(3), iaitu bahawa mereka telah dinafikan peluang munasabah untuk berunding dan dibela oleh pengamal undang-undang pilihan mereka.

“Mahkamah tidak menerima bahawa kelewatan sementara dalam memberikan akses itu didorong oleh niat tidak baik, namun, walaupun boleh difahami dari sudut operasi, pendekatan sedemikian tidak boleh mengatasi apabila sesuatu jaminan perlembagaan terlibat,” katanya.

Pada prosiding itu, kesemua plaintif diwakili peguam Kee Hui Yee dan New Sin Yew, manakala Kerajaan Malaysia dan PDRM diwakili Peguam Persekutuan, Anis Najwa Nazari.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN