PETALING JAYA: Seramai 113 pelarian, majoritinya etnik Rohingya yang berkumpul di hadapan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-BangsaBersatu bagi Pelarian (UNHCR)
ditempatkan sementara di Dataran Wira, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua mereka dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur pada pukul 8.50 malam semalam dengan kerjasama wakil pejabat UNHCR.
Beliau berkata, kumpulan itu terdiri daripada seorang lelaki warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.
Jelasnya, baki 110 individu ialah pelarian Rohingya, melibatkan 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan.
“Proses dokumentasi ke atas semua pelarian dilaksanakan oleh pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)
Kuala Lumpur, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Kuala Lumpur bersama wakil UNHCR.
“Hasil proses dokumentasi mendapati kesemua pelarian Rohingya terbabit memiliki dokumen UNHCR yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Fadil berkata, setakat ini pihak UNHCR sedang menguruskan tindakan susulan terhadap komuniti pelarian berkenaan.-UTUSAN








