11 termasuk warga Korea Selatan ditahan terlibat pertaruhan FIFA 2026

11 termasuk warga Korea Selatan ditahan terlibat pertaruhan FIFA 2026

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis menahan 11 individu termasuk enam warga Korea Selatan dalam serbuan di sebuah premis yang dijadikan pusat panggilan pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2026 di Taman Desa di sini, hari ini.

Dalam serbuan pada 11.30 pagi  itu dijalankan Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gengsterisme, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Mohd Zariezul Ismail.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, semakan terhadap peranti komputer di lokasi serbuan mendapati sindiket berkenaan mempromosikan laman web perjudian dalam talian dengan menyasarkan pasaran luar negara.

“Sindiket ini menjalankan promosi perjudian bola sepak Piala Dunia 2026 yang dikhususkan kepada pelanggan dari negara Korea Selatan, Jepun, dan Hong Kong.

“Semua 11 individu yang ditahan membabitkan sembilan lelaki dan dua wanita. Daripada jumlah itu, seramai tiga lelaki dan dua wanita adalah warga tempatan manakala enam lagi adalah lelaki warga Korea Selatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak polis turut merampas pelbagai kelengkapan yang digunakan untuk aktiviti tersebut termasuklah pelbagai set komputer, komputer riba, telefon bimbit, peralatan Wi-Fi, dan wang tunai berjumlah RM18,817. 

Turut dirampas adalah baki kredit bernilai 323,380.22 USDT (RM1.3 juta) dan 17,560 Won Korea (KRW) (RM47).

Dalam pada itu, Fadil memaklumkan hasil soal siasat awal mendapati pusat panggilan tersebut dipercayai telah beroperasi selama lebih kurang tiga bulan di sebuah pejabat di Faber Tower 1, Taman Desa.

“Siasatan mendapati premis berkenaan diuruskan oleh salah seorang suspek wanita warga tempatan yang berperanan mengendalikan urusan sewaan premis serta pekerja.

 “Lebih mengejutkan, kegiatan mempromosikan perjudian dalam talian ini dipercayai didalangi oleh seorang lelaki warganegara Kanada yang dikenali sebagai Victor, yang kini difahamkan menetap di luar negara,” jelasnya.

Katanya, pasukan Forensik Bukit Aman turut dipanggil ke lokasi bagi membuat analisa terhadap barang kes dan  mengesahkan peranti berkenaan positif digunakan untuk tujuan mempromosi perjudian melalui beberapa pautan laman web. 

Semua tangkapan dan rampasan  dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) (e) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,”katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN