PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan penempatan pelarian Rohingya di pulau atau kem khas sementara bagi mengelakkan isu lambakan pendatang menjadi beban kepada negara.
Pakar Keselamatan Antarabangsa Institut Keamanan Global London, Prof. Dr. Mohd. Mizan Aslam berkata, langkah itu bukan bertujuan menempatkan mereka secara kekal, sebaliknya sebagai mekanisme pengurusan dan pemantauan lebih sistematik sementara menunggu proses penempatan semula.
Katanya, pelaksanaan itu dapat membantu kerajaan mengumpulkan data lebih tepat mengenai jumlah sebenar pelarian Rohingya di negara ini selain memudahkan penyelarasan bantuan kemanusiaan dan urusan keselamatan.
Pendekatan sama pernah dilaksanakan terhadap pelarian Vietnam ditempatkan di pusat penempatan sementara sebelum dihantar ke negara ketiga menerusi kerjasama dengan badan antarabangsa.
“Langkah ini boleh dilaksanakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama agensi berkaitan termasuk kerajaan negeri. Ia hanya bersifat sementara dan bukan penempatan kekal untuk pelarian Rohingya.
“Dalam masa sama, kerajaan boleh mendesak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mempercepatkan proses penghantaran semua pelarian sedia ada ke negara ketiga mengikut mekanisme yang telah dipersetujui,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, pengamal undang-undang, Datuk Yaacob Md. Sam mencadangkan kerajaan mengadakan rundingan semula secara lebih serius dengan UNHCR bagi memperkemas pengurusan dan penentuan status Rohingya di negara ini.
Menurut Yaacob, langkah itu penting bagi memastikan jumlah kad UNHCR dikeluarkan kepada pendatang Rohingya dapat dikenal pasti dengan tepat selain mengetahui sejauh mana pemantauan dilakukan terhadap komuniti itu di Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) Azril Mohd. Amin berkata, negara ASEAN perlu bekerjasama dengan memberi tekanan melalui undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Myanmar berhubung isu melibatkan etnik Rohingya.
Beliau berkata, kes sebagaimana yang difailkan Gambia di ICJ pada tahun 2019 dilihat sebagai asas penting dalam memastikan Myanmar dikenakan tindakan dibawah konvensyen genosid, susulan dakwaan layanan buruk terhadap komuniti Rohingya.
Katanya, walaupun Myanmar menafikan dakwaan tersebut, prosiding di ICJ berjaya memberi tekanan undang-undang dan diplomatik berterusan, termasuk arahan langkah sementara pada 2020 yang menggesa perlindungan terhadap Rohingya dan pemeliharaan bukti berkaitan kes itu.
“Kes Gambia lawan Myanmar kini sedang menunggu keputusan muktamad ICJ selepas perbicaraan merit selesai.
“Malah, perhatian dunia tertumpu kepada kes ini dan ia memberi implikasi besar yang bakal dibawa penghakiman tersebut terhadap undang-undang antarabangsa sekaligus menjadi rujukan global dalam isu perlindungan minoriti dan pencegahan genosid di bawah Konvensyen mengenai Pencegahan dan Penghukuman Jenayah Genosid ,” katanya.
Azril berkata, penyelesaian melibatkan etnik Rohingya tidak boleh hanya melibatkan mekanisme tunggal semata-mata, sebaliknya menerusi pelbagai kaedah.
“Bantuan antarabangsa melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan UNHCR diperlukan untuk bantuan kemanusiaan, perlindungan warga tanpa negara, pelarian, serta penempatan semula secara terhad.
“Negara ASEAN perlu bekerjasama dengan memberi tekanan melalui undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Myanmar berhubung isu melibatkan etnik Rohingya,” katanya. – UTUSAN










