WORQ buka cawangan ke-13 di Menara Shell

WORQ buka cawangan ke-13 di Menara Shell

WORQ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali ruang kerja bersama, WORQ, menjalin kerjasama dengan Sentral REIT menerusi pembukaan cawangan ke-13 di Menara Shell, KL Sentral, di sini sekali gus memperluas ruang operasinya kepada kira-kira 60,000 kaki persegi.

Ia susulan permintaan yang semakin meningkat terhadap pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Kuala Lumpur disebabkan kenaikan kos tenaga dan pelaksanaan kaedah kerja fleksibel.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama WORQ, Stephanie Ping berkata, semakin ramai pekerja memilih untuk menggunakan pengangkutan awam berbanding bergantung kepada kenderaan persendirian.

Menurut beliau, hampir 50 peratus ahli WORQ kini menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja berbanding hanya 20 peratus ketika syarikat itu mula beroperasi.

“Trend ini menunjukkan perubahan struktur dalam strategi hartanah korporat apabila organisasi semakin memberi perhatian kepada lokasi pejabat yang mempunyai akses pengangkutan awam yang baik.

“Peranan kami adalah menyediakan fleksibiliti tersebut dalam pembangunan berorientasikan transit premium seperti Menara Shell sambil memastikan pekerja kekal produktif dan terlibat dalam persekitaran kerja yang kondusif,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Interim Pengurusan Pengalaman Pihak Berkepentingan dan Pemasaran Kumpulan Prasarana, Ashok Panchalingam berkata, inisiatif tersebut mampu meningkatkan daya tarikan penggunaan pengangkutan awam selain menyokong pembangunan ekosistem bandar yang lebih berhubung dan mampan.

“Sebagai tulang belakang sistem pengangkutan awam Malaysia, kami mengalu-alukan kerjasama yang dapat meningkatkan pengalaman pengguna melangkaui perjalanan itu sendiri.

“Inisiatif seperti menawarkan diskaun eksklusif kepada pemegang pas Rapid Kembara di tempat kerja berorientasikan transit menjadikan pengangkutan awam pilihan yang lebih menarik dan praktikal.

“Ini di samping menyokong pembangunan ekosistem bandar yang lebih berhubung dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sentral REIT Management Sdn. Bhd., Tay Hui Ling berkata, pemilihan Menara Shell oleh WORQ mencerminkan keyakinan terhadap nilai dan daya saing aset tersebut.

“Kemasukan WORQ merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk meningkatkan pengalaman penyewa serta memperkukuh nilai aset jangka panjang,” ujarnya.

Cawangan baharu WORQ di Menara Shell turut dilengkapi pelbagai kemudahan yang menitikberatkan aspek produktiviti, kesejahteraan dan kelestarian termasuk pod tidur, ruang rehat, bilik ibu, bilik permainan dan pantri moden.

Selain itu, kemudahan seperti stesen kerja ergonomik, bilik mesyuarat kalis bunyi dan susun atur pejabat yang boleh disesuaikan turut disediakan bagi memenuhi keperluan perniagaan moden. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN