Waris Sudirman terima royalti RM367,305 - Utusan Malaysia

Waris Sudirman terima royalti RM367,305

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat rakaman, Universal Music Malaysia menyerahkan bayaran royalti berjumlah RM367,305.19 kepada waris seniman tersohor negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, menerusi anak saudaranya, Razman Azrai Zainuddin atau Atai, hari ini.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata proses melunaskan bayaran royalti tersebut mengambil masa hampir dua tahun kerana membabitkan semakan terperinci termasuk audit akaun dan penyata royalti bersama wakil waris Allahyarham.

“Kami mengambil masa hampir dua tahun untuk menguruskan semua penyata royalti. Bersama Atai, kami turut melantik pihak audit bagi menyemak akaun berkenaan.

“Tempoh sebenar yang diambil kira bagi pembayaran royalti ini sukar ditentukan kerana terdapat beberapa perkara dalam kontrak asal Sudirman dengan EMI Music Malaysia yang kurang jelas,” katanya pada sidang media penghargaan legasi Allahyarham Sudirman di Odeon, di sini, hari ini.

Kim berkata, pihaknya turut memperbaharui kontrak berkaitan katalog muzik Allahyarham bagi menyesuaikannya dengan landskap industri muzik semasa, termasuk aspek royalti digital yang tidak terkandung dalam perjanjian terdahulu.

“Kontrak Sudirman bersama EMI Music Malaysia sebelum ini telah tamat tempoh sebagaimana yang ditetapkan dalam perjanjian asal.

“Justeru, kami memperkenalkan kontrak baharu yang merangkumi royalti digital serta pelbagai bentuk penggunaan karya pada masa kini, termasuk bayaran royalti yang akan terus dinikmati oleh keluarga Allahyarham,” katanya.

Sementara itu, Atai menyifatkan kerjasama yang diberikan Universal Music Malaysia sebagai faktor utama yang memudahkan proses penyelesaian urusan royalti berkenaan.

“Selepas melihat kesungguhan dan visi yang dibawa oleh Universal Music Malaysia, kami berpendapat keluarga sememangnya perlu memberikan kerjasama penuh.

“Proses ini mengambil masa agak lama, sekitar satu hingga dua tahun. Saya sendiri tidak begitu mengingati tempoh tepat kerana banyak pihak terlibat dalam perbincangan ini.

“Bukan saya seorang yang menguruskan perkara ini. Saya perlu mendapatkan pandangan waris lain, peguam serta pihak berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Turut hadir pada majlis penyerahan royalti itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; bekas Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman; Pengarah Kanan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng; penulis lirik, Datuk Habsah Hassan serta pengacara, Datuk Aznil Nawawi.

EMI Music Malaysia yang kini berada di bawah naungan Universal Music Malaysia bertanggungjawab memelihara dan menguruskan katalog muzik Allahyarham Sudirman bagi memastikan karya-karyanya terus dinikmati generasi masa kini dan akan datang. – UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN